
JOHOR BAHRU: Seramai 37 pekerja asing ditahan atas pelbagai kesalahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam serbuan di sebuah restoran makanan laut terkenal di Taman Sentosa, di sini semalam.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 49 tahun menerusi Ops Selera yang dijalankan pada pukul 12 tengah hari itu.
Katanya, operasi berkenaan dijalankan hasil maklumat awam serta risikan berhubung premis yang disyaki melindungi dan menggajikan warga asing secara haram.
“Fokus pemeriksaan adalah terhadap dokumen pengenalan diri serta permit kerja warga asing yang melanggar syarat pas.
“Pemeriksaan turut meluas ke kawasan asrama pekerja di bahagian belakang premis yang dijadikan tempat penginapan mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, tangkapan itu melibatkan 29 wanita dan enam lelaki warga Myanmar, serta masing-masing seorang lelaki warga Vietnam dan Bangladesh yang bekerja sebagai pelayan restoran serta tukang masak.
“Seorang lelaki tempatan yang dipercayai merupakan pengurus premis berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan. Sepanjang pemeriksaan dijalankan, sebanyak tiga Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan.
“Kesemua warga asing terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN
The post Restoran makanan laut diserbu, 37 pekerja asing ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






