Restoran, pelantar ikan rosak dibadai air pasang besar

LocalEnvironment
18 Sep 2024 • 5:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Fenomena air pasang besar yang melanda Bagan Sungai Burung pada Rabu mengakibatkan sebuah restoran dan pelantar ikan rosak.

image is not available
Hasil pemantauan mendapati berlakunya angin dan ribut yang mengakibatkan sebuah kedai makan dan pelantar ikan mengalami kerosakan teruk.

image is not available
Hasil pemantauan mendapati berlakunya angin dan ribut yang mengakibatkan sebuah kedai makan dan pelantar ikan mengalami kerosakan teruk.

BAGAN DATUK - Sebuah restoran dan pelantar pendaratan ikan rosak dibadai ombak dalam kejadian air pasang besar di Bagan Sungai Burung di sini pada Rabu.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Bagan Datuk, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, maklumat kejadian itu diterima pada jam 9.45 pagi hasil pemantauan dilakukan anggota.

Menurutnya, daripada laporan diterima, berlaku hujan lebat berterusan melebihi dua jam di lokasi berkenaan sejak jam 4 pagi.

"Hasil pemantauan mendapati berlakunya angin dan ribut yang mengakibatkan sebuah kedai makan dan pelantar ikan mengalami kerosakan teruk di bahagian lantai.

"Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, meskipun situasi semasa di kawasan tersebut masih hujan, namun keadaan paras air laut telah surut.

Justeru katanya, tiada keperluan untuk membuka pusat pemindahan sementara (PPS) buat masa ini.

"Fenomena air pasang besar telah bermula sejak Isnin lepas dan dijangka berakhir pada 23 September ini.

"Bacaan paras air paling tinggi dijangka mencecah 3.5 meter pada Jumaat ini," katanya.