
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Masihkah anda ingat kisah seorang lelaki berbangsa Cina, Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike yang menjaga dan membesarkan tiga anak angkatnya yang berbangsa Melayu?
Kisah itu nyata mendapat perhatian dan menyentuh hati ramai dek kerana pengorbanannya dalam membesarkan adik-beradik yatim piatu itu walaupun berlainan bangsa.
Malah, kerana keikhlasannya itu dalam mendidik tiga beradik berkenaan dan memberi didikan agama Islam yang sempurna, Uncle Mike turut diangkat sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan pada tahun 2024.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Berbangsa Cina Raih Pujian Besarkan 3 Beradik Melayu Seperti Anak Sendiri & Tetap Sediakan Pendidikan Islam
Ilham Dari Kisah Sebenar Ke Layar Perak, Filem Abah Saya, Uncle Mike Bawa Erti Kasih Sayang Tanpa Syarat
Semalam (26 Ogos), kami berpeluang menghadiri Tayangan Perdana dan Sidang Media Filem Abah Saya, Uncle Mike di GSC Midvalley Megamall, Kuala Lumpur.
Filem yang diinspirasikan daripada kisah sebenar itu merupakan buah tangan terbaharu daripada Astro Shaw dengan kerjasama 7 Up dan Mirinda.
Berbeza dengan kisah keluarga yang tipikal, filem ini memaparkan dinamika keluarga yang berlainan latar bangsa, agama dan budaya sekaligus menjadikan ia sebuah naskhah unik.
Malah, ia juga memaparkan kisah keluarga yang tidak lahir daripada ikatan darah sebaliknya dari kepercayaan, penerimaan dan kasih sayang tanpa syarat.

Barisan Pelakon Yang Fresh Terajui Filem Abah Saya, Uncle Mike
Menariknya, filem cereka pertama arahan Ezrie Gazali yang sebelum ini banyak mengarahkan program realiti tv, iklan komersil dan drama membariskan gabungan pelakon berpengalaman dan ‘fresh’ namun berbakat besar.
Setiap babak dijayakan dengan penuh jiwa oleh barisan pelakon seperti Andy Teh, Idan Aedan, Nor Merah, Umar Shakur, Pauline Tan, Chew Kin Wah, Mandy Chong, April Chan, Han Zalini, Nadiya Nisaa, Sobri Anuar, Songbill, Taqim Zaki, Shahkimin, Chris MJ dan Bidin Al Zaifa.

Menariknya buat peminat filem aksi, pastinya akan melihat sisi berbeza Andy Teh yang menerajui watak sebagai Uncle Mike.
Malah, gandingan bersama pelakon muda seperti Idan Aedan, Nor Merah dan Umar Shakur menguatkan lagi jalan penceritaan dan meninggalkan kesan yang mendalam di hati penonton.

Sinopsis Filem Abah Saya, Uncle Mike
Filem Abah Saya, Uncle Mike mengangkat kisah tiga beradik yatim piatu yang hilang tempat bergantung selepas kehilangan ibu bapa.
Rafei yang merupakan anak sulung cuba melarikan diri dari rumah anak yatim yang penuh dengan penderaan bersama adik-adiknya, Rasyid dan Rahman demi mencari kehidupan lebih baik.

Namun ketika mereka dipisahkan, Rafei diselamatkan buat sementara waktu oleh Uncle Mike.
Dalam usaha Rafei menyatukan kembali keluarganya, dia dan adik-adiknya bersama Uncle Mike berdepan dengan makna sebenar sebuah keluarga dan menyedari keluarga bukan sekadar pertalian darah.

Review Filem Abah Saya, Uncle Mike
Untuk review, kami berpendapat filem ini sememangnya menyentuh emosi dan meninggalkan kesan di hati penonton.
Paling menyentuh hati kami adalah babak ketika Rafei dikurung dan adik-beradiknya dipindahkan ke rumah anak yatim yang lain. Siapa hati tisu, memang confirm air mata mengalir!
Bukan itu sahaja, babak di mana Uncle Mike terpaksa membuat pilihan dan dilema untuk memilih antara keluarga dan tiga beradik berkenaan sehingga dia nekad memilih tiga beradik itu turut meninggalkan kesan mendalam.

Jalan cerita dan skrip hasil karya Muzzamer Rahman, Nik Naemah, Ezrie Gazali, Kyle Goonting, Yoke Yeng, Catalina Mae Hubbard dan Samuel Sin bagi kami sememangnya amat menyentuh hati, penuh puitis dan menyedarkan kami tentang takdir serta penerimaan.
Lagu tema nyanyian Mark Adam bertajuk Lelah tergiang-ngiang di telinga kami dek kerana melodi dan liriknya malah semasa atas katil pun!
Lirik yang penuh puitis seolah-olah menggambarkan apa yang dirasai oleh Rafei dalam filem tersebut.
Dari segi sinematografi bagi kami memuaskan sesuai dengan jalan cerita filem ini bagi menghidupkan lagi rasa dan emosi penonton.
Kalau ditanya rating keseluruhan, kami bagi 7.5/10! Jadi, kalau korang tengah cari filem berkisahkan tentang keluarga dan kasih sayang, tapi tak nak filem yang tipikal, jangan lupa pergi tonton filem Abah Saya, Uncle Mike.

Source:

