
KUALA LUMPUR – Malam 25 Mei lalu melakar banyak momen manis dan magis tercipta dalam intimasi paling eksklusif melalui pertunjukan seorang penyanyi dan penghibur bernama Ziana Zain.
Kuasa vokal mantap yang dilontarkan masih kekal padu dan tak tercapai pengganti yang lain. Tiada duanya, hanya satu. Lunak dan lantang kotak suaranya itu sudah tidak asing lagi buat kira-kira 5,000 peminat yang membanjiri Mega Stars Arena Kuala Lumpur seawal jam 6 petang.
Ziana Zain meraikan posisi kekalnya dengan menghimpun pengalaman, perjalanan suka duka dan jerih payah anak seni pastinya membuatkan penonton larut dan terpukau dalam perkisahan dan aura seorang legenda.
Menerusi tiga kali persalinan gah dan mewah Rizman Ruzaini, Rizalman dan Ezuwan Ismail, tatarias wajah yang sesuai dengan tona warna kulit dan padanan busana, Ziana tampil dengan aura cukup luar biasa, bahkan langsung tidak dimamah usia sepertimana di era puncak popularitinya.
Bukan sekadar memukau penonton dengan kemantapan vokal dan lagu balada malar segarnya, Ziana juga sangat peramah dan menyantuni peminatnya dengan penuh kasih sayang.

Lebih-lebih lagi titip pesan yang sering ditekankan agar sentiasa menghormati kedua ibu bapa, terpancar comel ketika ‘Video Call’ dilakukan bersama bapa tersayang.
Pada usia 56 tahun, Ziana masih diambil berat bagaikan remaja 16 tahun, seluruh ruang bergema menghadiahkan sorakan buat seorang bapa.
Tirai persembahan dibuka dengan lagu “Ada Suara Ada Cinta” dengan kemunculan surprise (kejutan) dari bawah pentas. Jerit-pekik kedengaran dari segenap ruang, karisma seorang diva begitu mempersonakan membuat penonton semakin resah gelisah sebaik sahaja lagu “Dengarkanlah” dilantunkan.
Suasana romantis dapat dirasai sampai ke lubuk jiwa apabila lagu demi lagu dipersembahkan, seluruh ruangan bergema ‘sing-along’ pada lagu “Kasih Ku Pertahankan” dan “Anggapanmu” yang ketara mengundang nostalgia zaman kegemilangan Ziana Zain.

“Satu Detik” mengajak penonton bangun berdansa sebelum kembali hanyut dicairkan kesyahduan rendisi “Sangkar Cinta” dan “Tiada Kepastian”.
Ketiadaan Datuk Awie memberi kesempatan kepada penonton untuk mengisi kekosongan itu membawakan “Senja Nan Merah” bersama Ziana.
Lagu kegemaran ramai “Bersama Akhirnya” dan “Kekal" dialunkan, semua terkesima dan larut dalam emosi cinta yang mengasyikkan sebelum beberapa lagu medley didendangkan tanpa iringan muzik.
Peminat semakin tenggelam saat Ziana membawakan lagu killer baladanya seperti “Puncak Kasih”, “Setiaku Disini”, “Kemelut Di Muara Kasih” dan “Berpisah Jua” – ia adalah lagu wajib yang dinanti-nantikan.
Tidak pernah gagal mencipta momen manis, romantis dan penuh magis, sukar rasanya membiarkan malam konsertnya itu berakhir tatkala Ziana membawakan lagu “Madah Berhelah”.
Namun, malam konsert itu, Ziana berjaya membuktikan masih ramai yang mencintai dan menjadikan dirinya sebagai idola.
Meskipun sedikit kecewa kerana lagu favourite seperti “ Putus Terpaksa”tidak tersenarai dalam setlist yang dipilih, namun harapannya akan ada lagi konsert pada masa akan datang daripada insan seni bernama Siti Roziana Zain ini. – 27 Mei, 2024
The post Reviu konsert: Ziana Zain lakar magis, vokal padu pukau 5,000 peminat appeared first on Scoop.
