liza03/06/2026 - 15:15 Projek kasino pertama yang sah di negara itu akan dibangunkan di Pulau Wynn Al Marjan dan dijangka mula beroperasi sekitar tahun 2027 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun – Syarikat RGB International Bhd memperoleh lesen vendor daripada pihak berkuasa Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi membolehkan syarikat itu menjual mesin permainan elektronik di negara berkenaan.
Kelulusan tersebut diberikan selepas permohonan yang dikemukakan kira-kira setahun lalu akhirnya diluluskan oleh pihak berkuasa UAE, menjadikan RGB sebagai vendor sah untuk membekal, menjual serta menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan mesin permainan di rantau tersebut.
Ketua Pegawai Operasi (Rekreasi) RGB, Chuah Eng Meng berkata dengan adanya lesen tersebut, RGB kini berada pada kedudukan lebih kukuh untuk membina hubungan awal dengan pemain industri di UAE sebelum operasi kasino besar bermula.
Projek kasino pertama yang sah di negara itu akan dibangunkan di Pulau Wynn Al Marjan dan dijangka mula beroperasi sekitar tahun 2027 yang membuka pasaran baharu lebih besar kepada industri mesin permainan.
Projek berkenaan akan dikendalikan oleh syarikat kasino berpangkalan di Las Vegas, Wynn Resorts, di bawah pengawalseliaan pihak berkuasa permainan komersial UAE.
RGB menyifatkan peluang ini sebagai langkah strategik untuk mengukuhkan kehadiran awal di pasaran baharu, selain membina rangkaian kerjasama dengan operator kasino serta penyedia perkhidmatan berkaitan.
Syarikat itu ketika ini terlibat dalam pembuatan dan pembekalan mesin permainan elektronik di beberapa pasaran utama termasuk Malaysia, Kemboja, Laos, Vietnam, Singapura, Macau dan Filipina.
Bagi tahun semasa, RGB menyasarkan jualan sekitar 3,000 unit mesin dengan sekitar 2,000 unit sudah pun ditempah setakat ini termasuk 500 unit yang telah dihantar pada suku pertama tahun ini.
Pada tahun lalu, syarikat itu mencatatkan penghantaran sebanyak 1,924 unit mesin permainan elektronik, sedikit di bawah sasaran dalaman yang ditetapkan.
Dari segi prospek, syarikat menjangkakan jualan boleh meningkat kepada antara 3,500 hingga 3,800 unit sekiranya keadaan geopolitik di rantau ini bertambah stabil dan permintaan pasaran terus kukuh.
RGB turut melihat permintaan kukuh dari Filipina serta sedang berbincang dengan Vietnam, selain menerima minat daripada operator di Kemboja yang kini cenderung untuk menyewa mesin permainan.
Lazimnya, kadar penggantian mesin permainan dianggarkan sekitar 8 hingga 12 peratus setiap tahun dengan Filipina mencatatkan kira-kira 24,000 unit mesin, Malaysia sekitar 8,000 unit, manakala Kemboja pula sekitar 6,000 unit.
Berdasarkan jumlah tersebut, Filipina dianggarkan memerlukan sekitar 1,440 unit penggantian setahun, Malaysia sekitar 480 unit dan Kemboja kira-kira 360 unit.
Dengan perkembangan baharu di UAE ini, RGB dijangka berada pada kedudukan lebih kukuh untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam industri permainan berlesen yang semakin berkembang di peringkat global. - DagangNews.com
