RHB Investment kekal yakin terhadap sektor pembinaan disokong projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, Transit Aliran Autonomi Kuching
diyana
20/07/2023 - 11:35
KUALA LUMPUR 20 Julai - RHB Investment kekal yakin terhadap sektor pembinaan memandangkan projek kereta api laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dimulakan semula dan Transit Aliran Autonomi (ART) di Kuching berjalan dengan baik.
Firma penyelidikan itu menambah bahawa potensi pemangkin jangka pendek termasuk tawaran semula pakej pautan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura dan kelulusan transit aliran ringan (LRT) yang menghubungkan Pulau Pinang ke Seberang Perai.
Menurut firma itu, kontrak pembinaan daripada sektor awam dijangka membina momentum selepas pilihan raya negeri pada Ogos (dengan andaian status quo), termasuk LRT Bayan Lepas dan mungkin Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang mana tempoh sah tendernya telah dilanjutkan sehingga akhir September.
Mengenai HSR, firma itu positif terhadap langkah MyHSR Corp membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk mengambil bahagian dalam pusingan terbaharu proses permintaan maklumat (RFI) dari 12 Julai sehingga 15 November.
Jelasnya, langkah tersebut memberi peluang kepada kumpulan kontraktor yang lebih besar untuk menyerahkan cadangan mereka.
“Memandangkan ia akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta, kami berpendapat bahawa sebarang pembangunan material selepas penilaian kerajaan mungkin akan diketahui pada separuh kedua 2024 (2H24),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu bagi projek infrastruktur ART, RHB Investment berkata Sarawak akan menerima prototaip ART pertama pada Ogos di bawah fasa pertama Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang bernilai RM6 bilion.
Secara berasingan, pembinaan laluan ART 3.3km di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan dijangka siap pada November dengan sasaran untuk memulakan operasi menjelang akhir 2025.
“Penerima manfaat yang berpotensi untuk projek ART Kuching termasuk Kimlun Corp Bhd dan KKB Engineering Bhd. Sementara itu, pelancaran lebih cepat daripada jangkaan bagi baki fasa pakej Lebuhraya Pan Borneo dan Jalan Sambungan Sarawak-Sabah seharusnya berfungsi sebagai pemangkin penarafan semula selanjutnya,” tambahnya.
Oleh itu, pilihan utama RHB Investment bagi sektor pembinaan adalah Gamuda Bhd (beli, harga sasaran (TP) RM5.27), Sunway Construction Group Bhd (beli, RM2.05) dan Kerjaya Prospek Group Bhd (beli, TP: RM1.55).
Firma itu berpendapat bahawa ketiga-tiga syarikat ini memiliki trend penambahan pekerjaan yang stabil dan lindung nilai strategik terhadap sebarang risiko penurunan dari landskap pembinaan domestik berikutan operasi Gamuda di luar negara yang membanggakan, sementara Sunway Construction dan Kerjaya Prospek memilik pendedahan baik dalam perindustrian swasta. - DagangNews.com


![[VIDEO] RHB Investment kekal yakin terhadap sektor pembinaan disokong projek HSR Kuala Lumpur-Singapura, Transit Aliran Autonomi Kuching](https://cdn.newswav.com/img/topic/business-and-finance.jpeg)
