RHB Investment menilai Alpha IVF yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 40 sen
diyana
06/03/2024 - 09:58
KUALA LUMPUR 6 Mac - RHB Investment menilai saham pusat rawatan kesuburan, Alpha IVF Group Bhd yang akan disenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 22 Mac 2024 pada 40 sen sesaham, iaitu pulangan 25% lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaannya (IPO) bernilai 32 sen.
Firma penyelidikan itu berkata nilai saksama tersebut diperoleh selepas ia mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan berkompaun (CAGR) pendapatan tiga tahun bagi tahun kewangan 2023 hingga 2026 (FY23-26) sebanyak 20% dan menganggap nisbah harga kepada pendapatan (P/E) pada 32 kali ganda terhadap pendapatan FY25.
“Penilaian itu adalah pada premium 14% berbanding purata penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan tersenarai tempatan (yang menawarkan perkhidmatan reproduktif berbantu [ARS] di bawah rangkaian hospital mereka juga) yang berdagang pada purata P/E dua tahun ke hadapan sebanyak 28 kali,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dengan sasaran menjana RM116.6 juta daripada IPO, RHB Investment menjangkakan pelan pengembangan strategik Alpha IVF dapat mengatasi penurunan kadar kelahiran di ASEAN, manakala peningkatan dalam pelancongan perubatan akan memacu CAGR pendapatan FY23-26.
Menurut firma tersebut, kumpulan itu dapat memanfaatkan pertumbuhan permintaan untuk ARS di Malaysia dan Singapura yang sedang berdepan kadar kesuburan yang rendah.
Dengan penemuan teknologi termaju dalam ARS, firma itu berpendapat bahawa Alpha IVF dapat mengikuti trend mega ini untuk menyediakan rawatan reproduktif berbantu komprehensif, yang membawa kepada kenaikan kadar kejayaan, perancangan keluarga lebih baik (melalui pengawetan telur dan sperma) dan membolehkan pasangan mengesan keabnormalan kromosom embrio (di bawah ujian genetik pra-implantasi).
“Sementara itu, kadar kejayaan rawatan persenyawaan in vitro (IVF) yang tinggi sebanyak 50% hingga 83% (untuk individu di bawah umur 40 tahun) dan 50% hingga 68% (untuk individu berumur 40 tahun ke atas) telah membantu meningkatkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk ARS,” tambahnya.
Firma itu berkata, pesakit asing menyumbang 57% daripada pendapatan operasi Alpha IVF di Malaysia setakat Mei 2023.
RHB Investment berkata risiko negatif utama kumpulan itu termasuk kekurangan pakar perubatan dalam bidang tersebut, wabak dan penyebaran penyakit yang membawa kepada penurunan bilangan lawatan pesakit asing dan kos operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan. - DagangNews.com


