RHB Investment menilai saham Elridge Energy yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada 38 sen
herman
09/08/2024 - 09:38
KUALA LUMPUR 9 Ogos - RHB Investment Bank memberi harga wajar 38 sen terhadap pengeluar produk bahan api biojisim, Elridge Energy Holdings Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Saranan itu adalah berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak 16x daripada pendapatan sesahamnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
"Nisbah P/E 16x ini adalah pada diskaun berbanding purata industri bagi pemain tenaga boleh diperbaharui (RE), yang kami anggap wajar memandangkan Elridge Energy tidak terlibat dalam penjanaan tenaga sebenar.
"Namun, ia mendapat manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat untuk bahan mentah, didorong oleh fokus yang semakin tinggi terhadap tenaga bio," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu, RHB Investment meramalkan hasil Elridge Energy akan berkembang pada kadar pertumbuhan teras tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 12%.
Firma penyelidikan itu berkata, ini emandangkan permintaan yang tinggi terhadap tenaga biomass didorong oleh segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
"Pertumbuhan ini disokong oleh operasi kemudahan baru di Kapar, yang menambah kapasiti tambahan sebanyak 240,000 megawatt (MT)," jelasnya.

Kata RHB Investment, melangkah ke hadapan, kumpulan merancang untuk memperluas kapasiti dengan menambah 720,000MT lagi melalui tiga kemudahan baru.
Jelas fima itu, pengembangan ini dijangka meningkatkan keupayaan pengeluaran secara signifikan dan menyumbang kepada pertumbuhan hasil yang berterusan.
"Kami menjangkakan pendapatan kumpulan akan berkembang pada CAGR selama 3 tahun sebanyak 29.5% dengan margin dijangka meningkat sedikit, disokong oleh tumpuan berterusan kumpulan kepada pasaran serantau," ujarnya.
Kumpulan itu menghasilkan dan memperdagangkan bahan api biojisim, terutamanya kulit isirung sawit dan pelet kayu, yang digunakan untuk menjana haba atau elektrik.
Produk biojisim merupakan hasil sampingan atau sisa daripada sumber boleh diperbaharui, seperti tumbuhan atau sisa organik.
Elridge Energy menyasarkan untuk mengumpul RM101.5 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia 22 Ogos 2024.
IPO berharga 29 sen sesaham, membabitkan terbitan awam sebanyak 350 juta saham baharu, menurut prospektusnya. - DagangNews.com


