RHB Investment semak naik ramalan pendapatan FY24-FY26 Sarawak Oil Palms sehingga 3% didorong peningkatan pengeluaran buah tandan segar

Business & Finance
20 May 2024 • 9:52 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RHB Investment semak naik ramalan pendapatan FY24-FY26 Sarawak Oil Palms sehingga 3% didorong peningkatan pengeluaran buah tandan segar

azan

20/05/2024 - 09:52

KUALA LUMPUR 20 Mei - RHB Investment menyemak naik ramalan pendapatan FY24-FY26 Sarawak Oil Palms Bhd sehingga 3% didorong oleh pertumbuhan buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi selain industri hiliran yang bertambah baik.

Bagaimanapun, katanya, unjuran itu mungkin sebahagiannya akan terjejas akibat peningkatan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM).

Katanya, kumpulan itu mengekalkan sasaran pertumbuhan BTS antara 5% hingga 6% pada tahun ini kerana masih bimbang terhadap kesan EL Nino pada separuh kedua 2024 terutamanya di kawasan utara selain menetapkan sasaran penanaman semula yang lebih agresif sehingga 6,000 hektar sehingga 2025.

"Kami mnemerhatikan bahawa kawasan utara hanya membentuk antara 8% hingga 10% daripada jumlah kawasan tanaman.

"Dengan mengambil kira perkara ini, kami meningkatkan andaian pertumbuhan BTS untuk FY24 kepada 7.3% daripada 6%, manakala FY25-FY26 berada pada pertumbuhan 3% hingga 4%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu sebelum ini melancarkan kilang penapisan minyak baharu dengan kapasiti 240,000 tan setahun pada akhir suku pertama 2024, walaupun ia telah beroperasi sejak 2023.

Katanya, jumlah kapasiti hiliran kumpulan telah meningkat sebanyak 53% kepada 690,000 tan.

"Kilang kedua menghasilkan minyak berkualiti tinggi, yang dipasarkan pada harga premium lebih 5% berbanding produk biasa.

"Kumpulan itu menyasarkan untuk mencapai kadar penggunaan 80% hingga 85% untuk kilang penapisan pada FY24F, meningkat daripada 65% hingga 70% pada FY23," katanya.

RHB Investment berkata, memandangkan kadar penggunaan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada FY23, kadar penggunaan untuk FY24-FY26 dinaikkan kepada 75% berbanding 50%.

Katanya, dari segi margin, kumpulan itu berjaya mengekalkan keuntungan pada FY23 dan dijangka mengekalkan momentum pada FY24, disebabkan oleh campuran produknya yang lebih baik dan strategi pemasaran baharu.

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM3.30 sesaham," katanya.- DagangNews.com