RHB Investment unjur prestasi sederhana terhadap syarikat insurans susulan penurunan jualan kenderaan

Business & Finance
5 Feb 2024 • 9:56 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RHB Investment unjur prestasi sederhana terhadap syarikat insurans susulan penurunan jualan kenderaan

herman

05/02/2024 - 09:56

KUALA LUMPUR 5 Feb - Syarikat insurans dijangka mencatatkan prestasi tahunan sederhana susulan penurunan jualan kenderaan seperti mana yang dijangkakan selepas mencatat rekod tahunan baharu pada 2023.

RHB Investment Bank berkata, selain itu, turut diambil kira dalam membuat unjuran ini ialah penurunan jumlah pulangan pelaburan akibat tiadanya kesan asas rendah.

"Namun begitu, jumlah tuntutan dan kos pengambilan insurans semula yang kian menstabil dan juga kenaikan sumbangan daripada insurans nyawa dan takaful keluarga sekurang-kurangnya patut menjana pertumbuhan pendapatan bersih pada digit tunggal sederhana.

"Seterusnya, modal berpotensi menaik disebabkan oleh kegusaran membabitkan Piawaian Laporan Kewangan Malaysia 17 yang mereda secara beransur-ansur, manakala kadar hasil pulangan dilihat baik mencecah 4-5%," katanya dalam nota kajian hari ini.

RHB Investment Bank dalam nota kajian bagi saham institusi kewangan bukan bank itu memilih saham Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad (STMB) dan Aeon Credit Service kerana memaparkan asas-asas kewangan yang baik.

"Kedua-dua syarikat ini memaparkan asas-asas kewangan yang baik (pertumbuhan EPS ACSM: +14% tanpa mengira kerugian bank digital pada FY25F (Feb), pertumbuhan EPS STMB: +10% pada FY24 (Dis)).

"Namun, kedua-duanya diniagakan pada kadar yang jauh lebih rendah berbanding penilaian purata. Sebaliknya, sesetengah kaunter yang dinilai lebih tinggi daripada yang sepatutnya memberikan peluang untuk mengumpul untung," jelasnya.

Tambah RHB Investment, pertumbuhan perolehan sektor ini dijangka dapat dikekalkan pada 2024, dengan sokongan daripada keadaan makroekonomi yang baik.

"Pandangan kami terhadap syarikat insurans tetap positif, namun pilihan kami lebih menjurus ke arah syarikat pemberi pinjaman bukan dalam kalangan bank kerana subsektor ini memberikan profil risiko-ganjaran yang tidak menentu.

"Saranan pelaburan sektor diturun taraf kepada NEUTRAL kerana kami berpendapat penilaian kini berpadanan dengan nilai intrinsiknya, dan menyarankan saham yang berpenilaian rendah buat sektor ini, iaitu Aeon Credit dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga yang turut menjadi syarikat pilihan utama kami.

Sementara itu, katanya, usaha Bursa Malaysia untuk menembusi bidang baharu seperti pasaran karbon dan pengumpulan dana melalui hutang berkemungkinan tidak akan memberi sumbangan ketara terhadap pendapatan kasarnya dalam jangka sederhana.

Sehuhubungan itu, firma itu mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap syarikat pasaran saham ini dengan perbelanjaan operasi (opex) yang lebih mahal daripada jangkaan mungkin menjadi risiko negatif.

Namun, firma penyelidikan itu turut berpandangan terdapat risiko positif kepada Bursa Malaysia yang mungkin timbul daripada SADV yang melepasi jangkaan dengan SADV 2024 diunjurkan pada RM2.7 bilion.


"Harga saham BURSA melakar prestasi baik dengan kenaikan 8% sejak awal tahun ini dan 21% sejak Jun 2023.

"Walaupun pihak pengurusan positif akan penambahbaikan pada nilai harian purata sekuriti (SADV) pada 2024, kami berpendapat jangkaan positif ini sudahpun diambil kira dalam harga.

"Sebaliknya, usaha BURSA untuk menembusi bidang baharu (pasaran karbon, pengumpulan dana melalui hutang, dsb) berkemungkinan tidak akan memberi sumbangan ketara terhadap pendapatan kasarnya dalam jangka sederhana," katanya dalam nota kajian hari ini. - DagangNews.com