johardy16/10/2026 - 18:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt - RHB Bank Berhad telah mencapai “kemajuan bermakna” berhubung cadangan urus niaga insurans Tokio Marine Asia Pte Ltd, termasuk semakan usaha wajar yang sedang dijalankan serta rundingan mengenai terma komersial utama dan dokumentasi transaksi.
Bank itu mengemukakan permohonan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini untuk mendapatkan lanjutan masa bagi memuktamadkan rundingan tersebut, menurut makluman kepada Bursa Malaysia.
RHB berkata, permohonan itu bertujuan membolehkan perbincangan diteruskan serta terma dan dokumentasi transaksi dimuktamadkan.
Cadangan tersebut melibatkan pelupusan sehingga 100% kepentingan ekuiti dalam RHB Insurance Berhad serta penyepaduannya dengan Tokio Marine Insurans (Malaysia) Berhad untuk membentuk sebuah entiti yang lebih besar.
Di bawah struktur yang dicadangkan, RHB Bank akan memegang sehingga 35% kepentingan ekuiti dalam entiti insurans gabungan itu.
BNM pada 11 Mei memberikan kelulusan untuk memulakan rundingan, dengan syarat pihak terbabit memuktamadkan perbincangan dalam tempoh enam bulan dari tarikh surat bank pusat tersebut.
RHB berkata, perkembangan lanjut mengenai cadangan itu akan diumumkan kelak.
Rundingan terdahulu berakhir tanpa persetujuan
RHB dan Tokio Marine sebelum ini pernah mengadakan rundingan mengenai penjualan perniagaan insurans bank tersebut.
Pada Disember 2019, RHB menamatkan perbincangan untuk menjual pegangannya ketika itu sebanyak 94.7% dalam RHB Insurance kepada Tokio Marine Asia, anak syarikat Tokio Marine Holdings Inc dari Jepun.
Bagi cadangan semasa, RHB dalam pengumuman pada Mei menyatakan bahawa pihak terbabit perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada Menteri Kewangan, atas syor BNM, sebelum memeterai perjanjian muktamad di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. - DagangNews.com
