RHB, Maybank jadi pemegang saham utama Vantris Energy selepas Pelan Regularisasi disempurnakan

26/09/2025 - 18:06
Oleh JOHARDY IBRAHIM
KUALA LUMPUR 26 Sept - Pelan Regularisasi Vantris Energy Berhad telah selesai sepenuhnya selepas semua syarat terdahulu (Conditions Precedent) bagi Tarikh Berkuatkuasa Penstrukturan dipenuhi, menurut kenyataan MBSB Investment Bank Berhad (dahulu dikenali sebagai MIDF Amanah Investment Bank Berhad).
Dalam makluman di Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pelaksanaan tersebut melibatkan beberapa langkah penting yang dimuktamadkan pada 26 September 2025, iaitu:
-
Penyelesaian liabiliti tertunggak kepada pemiutang tidak bercagar melalui:
-
penerbitan, penyenaraian dan kuotasi 1.36 bilion saham penyelesaian (Settlement Shares) di Pasaran Utama Bursa Malaysia; dan
-
penerbitan 1.47 bilion sekuriti hutang Islam boleh tukar tidak bercagar boleh tebus (RCUIDS) kepada pemiutang tidak bercagar.
-
-
Penerbitan 2.29 bilion Sekuriti Hutang Boleh Tukar Boleh Tebus (RCLS) bernilai nominal RM1.1 bilion oleh Vantris Energy kepada Malaysia Development Holding Sdn Bhd.
RHB, Maybank
Seiring dengan pelaksanaan pelan ini, dua institusi kewangan utama negara — RHB Bank Berhad dan Malayan Banking Berhad (Maybank) — muncul sebagai pemegang saham utama dalam Vantris Energy.
RHB Bank melalui RHB Islamic Bank Berhad menerima 164.56 juta saham biasa baharu pada harga RM0.80 sesaham bersama 177.39 juta RCUIDS.
Kepentingan tidak langsung ini mewakili 7.21% modal saham terbitan Vantris Energy, sekali gus menjadikan RHB Bank pemegang saham substansial di bawah Seksyen 136 Akta Syarikat 2016.
Maybank pula bersama Maybank Islamic Berhad (MIB) menerima 462.45 juta saham biasa baharu serta 498.48 juta RCUIDS sebagai sebahagian daripada penyelesaian liabiliti Sapura TMC Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Vantris Energy.
Dengan itu, Maybank kini memegang secara langsung 421.67 juta saham biasa (18.48%) dan secara tidak langsung melalui MIB sebanyak 40.78 juta saham biasa (1.79%), menjadikan keseluruhan pegangan kumpulan itu 20.27% dalam Vantris Energy.
Langkah ini menandakan satu lagi fasa penting dalam usaha penstrukturan semula Vantris Energy yang berdepan cabaran kewangan besar, khususnya menerusi pendekatan penukaran liabiliti kepada ekuiti serta penglibatan aktif institusi kewangan utama. - DagangNews.com
featured standard

