RHT Mine menang anugerah ASEAN bagi kategori Amalan Terbaik Perlombongan Mineral Logam

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2025 • 11:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

RHT Mine menang anugerah ASEAN bagi kategori Amalan Terbaik Perlombongan Mineral Logam

image is not available

08/10/2025 - 11:33

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Okt – Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC) melalui anak syarikatnya, Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT Mine) memenangi Anugerah Amalan Terbaik Perlombongan Mineral Logam dalam Anugerah Mineral ASEAN ke-4 2025.

Majlis anugerah tersebut yang berlangsung di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos bertujuan mengiktiraf kecemerlangan dalam pembangunan mineral yang mampan dari aspek alam sekitar dan sosial di rantau Asia Tenggara.

Penganugerahan itu mengukuhkan kedudukan RHT Mine sebagai pemain utama dalam industri perlombongan timah yang berteraskan kelestarian.

Kategori Amalan Terbaik Perlombongan Mineral Logam mengiktiraf operasi perlombongan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pembangunan komuniti, peningkatan tenaga kerja, prestasi alam sekitar, kesihatan dan keselamatan serta inovasi.

RHT Mine menonjol melalui pendekatan menyeluruh terhadap kelestarian, merangkumi sokongan terhadap pekerjaan tempatan dan kebajikan komuniti, peningkatan piawaian keselamatan serta pelaksanaan amalan pengurusan alam sekitar yang inovatif.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSC, Datuk Dr. Patrick Yong berkata, pengiktirafan itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan MSC ke arah pengeluaran “green tin”, timah yang dilombong dan dilebur secara bertanggungjawab sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) tertinggi.

“Ketika industri global mempercepat peralihan ke arah teknologi hijau, pengeluaran timah hijau menjadi semakin penting bagi memenuhi permintaan terhadap bahan mentah yang diperoleh secara bertanggungjawab.

“Pengiktirafan ini mencerminkan keupayaan lombong tersebut menyeimbangkan kecekapan operasi dengan penjagaan alam sekitar dan impak sosial, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai penyumbang penting kepada pembangunan mineral lestari di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available
Pimpinan tertinggi Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd bersama anugerah yang diterima

Tambahnya, komitmen tersebut jelas melalui sumbangan kukuh RHT Mine terhadap ekonomi dan komuniti setempat di Pengkalan Hulu, Perak, tempat operasi lombong berkenaan.

“Lombong itu menyediakan pekerjaan tetap kepada lebih 1,200 orang dan menyokong hampir 4,000 ahli keluarga di kawasan sekitarnya.

“Dengan majoriti tenaga kerja terdiri daripada rakyat Malaysia serta peningkatan penyertaan wanita, RHT Mine terus memupuk inklusiviti dan pembangunan kemahiran melalui latihan berterusan dan program keterlibatan komuniti,” katanya.

Dari aspek alam sekitar, RHT Mine juga menjadi perintis dalam industri perlombongan Malaysia dengan melaksanakan Pelan Kawalan Hakisan dan Enapan serta Pelan Pemulihan Sungai sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan Lombong yang diluluskan.

Lombong itu turut menggunakan sistem kitar semula air tertutup bagi memastikan tiada air tidak dirawat dilepaskan ke alam sekitar.

Beliau berkata, dalam masa sama, penyelidikan berterusan terhadap teknologi hijau, khususnya rawatan air pasif menggunakan bakteria pengurang sulfat, menunjukkan kesungguhan MSC untuk memajukan pembangunan mineral mampan.

“RHT Mine juga menegakkan piawaian tertinggi keselamatan tempat kerja dan integriti.

“Ia disahkan di bawah ISO 45001:2018 bagi Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, ISO 39001:2012 bagi Sistem Pengurusan Trafik Jalan Raya, serta ISO 37001:2016 bagi Sistem Pengurusan Anti-Rasuah,” katanya.

Lombong itu dua kali menerima Anugerah Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) dan pernah disenaraikan sebagai finalis Anugerah Integriti dan Tadbir Urus Malaysia 2025, mencerminkan budaya keselamatan dan tadbir urus yang kukuh dalam operasi syarikat.

Anugerah Amalan Terbaik Perlombongan Mineral Logam ini mengukuhkan usaha RHT Mine dalam mengintegrasikan elemen ESG ke dalam operasinya, di samping mencerminkan pendekatan MSC yang lebih luas dalam menyeimbangkan pertumbuhan perniagaan dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan pembangunan sosial di sepanjang rantaian nilainya.

Malaysia Smelting Corporation, yang merupakan anak syarikat kepada The Straits Trading Company Limited dari Singapura, kini antara pengeluar utama timah dan produk berasaskan timah di dunia serta peneraju global dalam penyepuhan timah tersuai sejak tahun 1887. - DagangNews.com

standard