
AMSTERDAM: Ribut dengan kelajuan angin mencecah sehingga 120 kilometer sejam melanda Belanda pada Selasa, menyebabkan penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol terjejas, selain kesesakan lalu lintas yang menyaksikan trak di lebuh raya turut diterbangkan ribut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perkhidmatan kereta api di kawasan utara negara itu turut mengalami gangguan. Pihak berkuasa pengangkutan mengeluarkan amaran supaya tidak memandu di lebuh raya.
Agensi perkhidmatan cuaca meramalkan kelajuan angin mencecah 100 hingga 120 km sejam, dengan amaran merah dikeluarkan di kawasan utara.
Perkhidmatan di Lapangan Terbang Schiphol Amsterdam terjejas teruk, ekoran angin kencang dan hujan lebat.
Trafik udara akan “sangat terhad” antara 9 pagi dan 4 petang (0700 hingga 1400 GMT), menurut pihak lapangan terbang itu.
Beberapa penerbangan ketibaan dan pelepasan telah dibatalkan atau ditangguhkan. -Bernama

