Ribut Petir, Hujan Lebat Landa 10 Negeri Malam Ini

2 May 2025 • 7:26 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ribut Petir, Hujan Lebat Landa 10 Negeri Malam Ini

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang meliputi 10 negeri dan satu Wilayah Persekutuan sehingga jam 9 malam ini.

Amaran yang dimuat naik di laman Facebook jabatan tersebut menyenaraikan seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan bakal menerima hujan lebat.

Cuaca buruk yang bakal melanda Perak malam ini meliputi kebanyakan kawasan. Antara kawasan yang tersenarai termasuk Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar. Begitu juga daerah Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim.

Beralih ke pantai timur, beberapa daerah di Kelantan turut tersenarai iaitu Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang.

Di Terengganu, MetMalaysia menjangkakan hujan lebat di Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman.

Manakala di Pahang, hujan lebat dijangka melanda hampir seluruh daerah di utara, selatan dan pantai timur negeri berkenaan. Antara kawasan yang diramal alamai cuaca buruk termasuk Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Terus ke selatan, MetMalaysia menjangkakan hujan lebat di Johor yang meliputi daerah Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Keadaan cuaca di Sarawak menunjukkan hujan lebat bakal melanda daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.

Manakala di Sabah, daerah Pedalaman, Pantai Barat, Tawau (Tawau), Sandakan (Telupid) dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat) juga dijangka alami hujan lebat.

image is not available
Kredit: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum jabatan berkenaan.

Berikutan amaran ini, orang awam dinasihatkan agar berhati-hati ketika memandu dan elakkan berada di kawasan yang berisiko.