
PETALING JAYA: Penyanyi, Rich Gimbang menegaskan bahawa dia tidak lagi melihat keperluan untuk menyertai program realiti bagi membuktikan kemampuan dirinya
selepas hampir 20 tahun bergelar anak seni.
Rich atau Richael L Gimbang, 44, berkata, dia sudah mencapai persetujuan bersama anggota kumpulan Estranged untuk tidak lagi menyertai sebarang program realiti pada masa akan datang.
“Saya sudah berbincang dengan ahli kumpulan yang lain (Estranged), kami sepakat untuk tidak lagi menyertai sebarang program realiti.
“Bagi saya, sekiranya saya menyertai program realiti ia seperti mencalarkan imej sebagai artis. Saya sudah bergelar artis selama 20 tahun, jadi tidak lagi perlu untuk menyertai program realiti untuk membuktikan sesuatu,” katanya.
Rich berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran solo terbaharunya, Mean To Me, di Drum Asia Live Hartamas, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Kata penyanyi lagu Itu Kamu itu, dia juga tidak melihat keperluan untuk dinilai oleh juri yang terdiri daripada rakan seperjuangan dalam industri kerana mereka berpotensi menjadi rakan kerjasama dalam menghasilkan karya muzik.
“Panel juri pun macam Datuk Syafinaz adalah rakan artis juga. Saya tidak rasa perlu dihakimi oleh mereka kerana saya memerlukan mereka untuk bekerjasama dalam mencipta karya muzik,” katanya.
“Saya tidak berapa gemar menyertai program realiti kerana ia seakan ‘dibuat-buat’. Itulah namanya program realiti televisyen. Kita semua tahu konsepnya kan?
“Sewaktu di Akademi Fantasia saya sudah banyak belajar tentang dunia realiti TV ini. Velvet (isteri) saya juga ada ditawarkan untuk menyertai program realiti,” ujarnya.
Pun begitu, pendirian itu tidak bermakna Rich mahu menghalang isterinya, Velvet Lawrence Aduk, yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4), daripada menerima tawaran menyertai program realiti.
“Kerjaya Velvet sangat kuat di Sabah. Kerjaya nyanyiannya mungkin tidak berapa kuat di Kuala Lumpur.
“Peminat mungkin sudah terlupa dengan kehadiran Velvet. Bila difikirkan saya perlu juga berikan sokongan dan tidak boleh pentingkan diri sendiri,” katanya.
“Saya cuma beri pendapat mungkin belum tiba masanya untuk dia (isteri) masuk program realiti dan mulakan kerja-kerja berkempen untuk meraih undian penonton. Tapi kalau memang dia nak sertai, saya akan berikan sokongan,” katanya.
Untuk rekod, Richael L Gimbang mula dikenali dalam industri muzik selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia musim keempat (AF4) pada 2006 sebelum mengukuhkan nama bersama kumpulan Estranged yang ditubuhkan pada 2001.
Sejak ditubuhkan, Estranged semakin mengukuhkan nama dalam industri muzik arus perdana sebelum muncul juara Anugerah Juara Lagu ke-22 (AJL22).
The post Rich Gimbang tidak mahu lagi sertai program realiti appeared first on Utusan Malaysia.






