Ricky Wong terus diburu SC, waran tangkap pertama dikeluarkan Dis 2019
herman
04/06/2024 - 17:18
KUALA LUMPUR 4 Jun - Dua pertuduhan dan dua waran tangkap sudah dikeluarkan dengan yang pertama hampir lima tahun lalu namun bayang Wong Shee Kai atau Ricky Wong masih belum dapat dijejak sehingga kini.
Bagi pertuduhan pertama, Ricky Wong, 42, yang juga bekas Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Media Group Berhad (AMGB) didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Pertuduhan kedua pula, lelaki itu yang mempunyai tempat tinggal terakhir di Taman Gembira, Kuala Lumpur didakwa di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Justeru, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini sekali lagi memohon bantuan awam untuk mengesan lokasi tertuduh setelah pelbagai waran tangkap terhadap Ricky Wong yang masih bebas serta percubaan untuk mengesan keberadaannya dilakukan sebelum ini.
"Pada 27 Disember 2019, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Wong bagi dua pertuduhan di bawah seksyen 32(8)(a) AMLATFPUAA kerana gagal hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC seperti yang dikehendaki di bawah seksyen 32(2)(a) Akta yang sama.
"Jika sabit kesalahan, Wong boleh didenda tidak melebihi RM3 juta ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, dan dengan kemungkinan denda berterusan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Selepas itu, kata SC, pada 29 September 2021, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap kedua terhadap Wong bagi satu pertuduhan di bawah seksyen 369(b)(B) CMSA kerana memberikan kenyataan palsu berkaitan hasil AMGB kepada Bursa Malaysia.
Kata suruhanjaya itu, kenyataan palsu itu adalah berhubung dengan hasil Asia Media Group yang terkandung dalam Laporan Suku Tahunan AMGB mengenai Keputusan Disatukan bagi Suku Tahun Ke-4 berakhir 31 Disember 2015.
"Jika sabit kesalahan, Wong akan dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun dan juga boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.

"SC telah mengenakan pertuduhan terhadap bekas Akauntan Kumpulan Asua Media Group, Ong Kar Kian (Ken Ong), atas kesalahan yang sama pada 30 September 2021," ujarnya.
Menurut SC, perbicaraan kini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Wong digesa untuk memaklumkan kepada SC di talian 012-6102593/012-6114657 atau e-mel kepada SC di aduan@seccom.com.my," tegasnya.
Butiran individu dicari:
• Nama: Wong Shee Kai @ Ricky Wong
• No. IC: 811212-14-5957
• Alamat perniagaan/pekerjaan terakhir yang diketahui: Asia Media Group Berhad, No.35, First Floor, Jalan Bandar 16, Pusat Bandar Puchong, 47100, Puchong, Selangor
• Tempat tinggal terakhir yang diketahui: No. 5, Jalan Enak 2, Taman Gembira, 58200, Kuala Lumpur
Pasukan peguam Ricky Wong pada 21 Mei lalu telah menolak dakwaan yang melabelkan anak guam mereka sebagai "pelarian" berikutan laporan berita bahawa mahkamah tertinggi telah menolak permohonannya untuk menghadiri perbicaraan sivil melalui teknologi komunikasi jarak jauh (RCT).
Firma guaman Shafee & Co berkata, istilah "pelarian" membayangkan pengelakan undang-undang, yang tidak berlaku bagi Wong, pengasas Asia Media.
Mereka berkata, Wong tidak dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia atas sebarang kesalahan substantif tetapi atas dakwaan kegagalan memberikan kenyataan atau membantu siasatan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
"Wong secara konsisten menawarkan untuk memberikan kenyataan dan/atau membantu siasatan dari jauh, yang telah ditolak oleh SC setakat ini," kata peguam itu dalam satu kenyataan.
Kenyataan firma itu dikeluarkan susulan laporan media mengenai Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Wong untuk mengambil bahagian dalam prosiding mahkamah dari jauh dan dakwaan seterusnya bahawa beliau adalah seorang pelarian.- DagangNews.com
