
ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Kedah (Cake) menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati ketika memesan makanan menerusi platform penghantaran bagi mengelak terbeli daripada premis kotor atau yang menyediakan makanan tidak halal.
Kebimbangan itu timbul susulan pendedahan seorang individu dipercayai penghantar makanan di Threads yang mendakwa sebuah kedai makan di Kulim, dekat sini berada dalam keadaan kotor ketika dia mengambil pesanan pelanggan.
Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pengguna perlu lebih berhati-hati ketika memilih premis makanan, terutama yang beroperasi menerusi aplikasi penghantaran makanan.
Katanya, pengguna tidak dapat melihat sendiri keadaan dapur, peralatan memasak dan cara makanan dikendalikan ketika membuat pesanan melalui aplikasi berkenaan.
“Justeru, pengguna perlu menyemak maklumat dan ulasan pelanggan mengenai sesebuah premis sebelum membuat pesanan. Penghantar makanan juga boleh membantu menyalurkan maklumat kepada pelanggan sekiranya mendapati keadaan premis tidak memuaskan ketika mengambil pesanan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Beliau turut berkongsi pengalaman membatalkan pesanan makanan selepas dimaklumkan penghantar makanan bahawa premis berkenaan tidak halal.
“Nasib baik penghantar makanan itu memaklumkan kepada saya bahawa kedai tersebut tidak halal dan saya terus membatalkan pesanan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamad Yusrizal menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan pemeriksaan kebersihan premis makanan secara berkala serta mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku pelanggaran peraturan.
Sementara itu, seorang pengguna Threads menggunakan nama akaun erroridentification5555 mendakwa terkejut melihat keadaan sebuah kedai makan di Kulim yang digambarkannya seperti sarang tikus ketika mengambil pesanan pelanggan.
Pengguna itu yang dipercayai bekerja sebagai penghantar makanan mendakwa bekas sambal di premis berkenaan diletakkan di dalam baldi kecil yang kotor dan dihurung lalat.
Dia turut mendakwa lantai, dinding serta kawasan memasak dan membungkus makanan berada dalam keadaan kotor, selain keadaan pengendalian premis yang tidak memuaskan.
Lebih mengejutkan, pengguna itu mendakwa semakan terhadap ulasan pelanggan mendapati ramai yang memuji keenakan makanan di kedai berkenaan.
Seorang lagi pengguna Threads turut mendakwa premis itu menggunakan tiga nama kedai berbeza, selain mempersoalkan kebersihan peralatan yang digunakan. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Rider’ bongkar kedai makan macam sarang tikus appeared first on Kosmo Online.
