
Tenom: Calon Bebas Parlimen Tenom, Riduan Rubin optimis bahawa kerjasama di antara Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (PKDM) untuk sesi kempen kali ini bakal membuahkan hasil yang positif.
Beliau mendedahkan, kemuafakatan jenteranya selaku calon Bebas dan PKDM akan turut menarik minat anak-anak muda Tenom untuk menentukan undi pada 19 November hadapan.
“Dengan adanya kerjasama ini, saya rasa kita di landasan yang tepat untuk meraih satu keputusan positif pada hari mengundi nanti.
“Kita dalam masa sama akan membina momentum untuk memenangi hati pengundi-pengundi Tenom dengan pencerahan hala tuju yang saya bawa pada kempen di Tenom ini,” katanya ketika ditemui selepas jelajah PDM Pamilaan di sini.
Jelas Riduan, antara manifesto yang beliau bawakan adalah memperkasakan ekonomi setempat, sukan dan rekreasi, kerohanian, pendidikan serta pembangunan infrastruktur dan prasarana parlimen Tenom.
“Sudah tiba masanya anak muda diangkat untuk membawa suara Tenom ke Dewan Rakyat.
“Sebagai calon Bebas dan dibantu oleh PKDM, saya berharap kita dapat melakukan sesuatu yang baik untuk rakyat Tenom dan seterusnya mengangkat suara rakyat Tenom, “ katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
