
Kata orang, bila sesuatu sudah tiada barulah kita terasa akan kehilangannya. Ternyata ia memang suatu yang dirasakan saat ini.
Pemandangan ibu kota yang indah dengan bangunan pencakar tinggi menjulang, langit yang membiru, matahari jingga bersinar terang termasuk pokok-pokok hijau di sekeliling kita yang ditatap setiap hari jarang kita benar-benar syukuri selama ini.
Kita melihat dunia sejauh saujana mata memandang, tidak terhad pada kadar radius kecil dikelilingi kelabu yang meresahkan seperti ketika ini.
Setiap pagi kita juga menghirup udara segar tanpa berfikir apapun. Kita mungkin menganggap ia biasa dan apalah sangat nikmat sebegitu, tetapi sejak kebelakangan ini apabila nikmat itu diragut asap kita merindui warna alam dan kesegaran udara untuk kembali dikecapi.
Itulah yang penulis rasakan apabila jerebu melanda.
Alam yang berjerebu memang menyakitkan seluruh jiwa raga. Sekalipun ia bencana yang dibuat oleh tangan-tangan manusia durjana, mungkin ini juga cara Tuhan menambah dalam diri kita rasa lebih menghargai apa yang ada di sekeliling kita selepas ini.
Apapun yang terjadi tetap suatu takdir. Siapa yang bersalah tetap harus dipertanggungjawabkan dan langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan untuk mengatasi masalah daripada berulang kerana asap boleh mengundang masalah kesihatan kepada manusia.
Apatah lagi, ini bukan jerebu kali pertama melanda negara ini tetapi penulis rasakan kali ini impaknya lebih buruk daripada tahun-tahun sebelumnya sehinggakan banyak negeri terpaksa menutup sekolah. Kebakaran hutan dari Indonesia kali ini bagai terlalu besar dan berlarutan.
Masalah jerebu di Malaysia dilaporkan mula dikesan pada Ogos 2026. Gelombang pertama bermula awal Ogos ekoran tiupan Monsun Barat Daya yang membawa asap kebakaran hutan rentas sempadan dari Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.
Peningkatan titik panas dan kemerosotan kualiti udara mula dilaporkan secara rasmi sekitar 8 Ogos lalu. Negeri Sarawak merupakan antara kawasan terawal yang terjejas teruk pada pertengahan Ogos akibat jerebu rentas sempadan.
Situasi jerebu merebak luas ke Semenanjung Malaysia. Setakat pertengahan Oktober 2026, keadaan kualiti udara di beberapa negeri berada pada tahap Tidak Sihat, terutama di kawasan Selatan
Semenanjung seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, serta sebahagian Pantai Timur. Keadaan ini malah memaksa melanjutkan penutupan sekolah-sekolah antaranya di Johor.
Kuala Lumpur sebagai ibu kota kebanggaan kita juga kini sedang berdepan masalah yang sama sehingga mencacatkan warna keindahannya. Penulis sebagai warga ibu kota sejak lahir merasakan penangan jerebu kali ini memang luar biasa.
Episod jerebu yang melanda negara masih berlarutan sehingga kini. Semoga kita semua kuat dan tabah untuk menghadapinya.
The post Rindu menatap kembali warna alam appeared first on Kosmo Online.
