Rindu suara dan rajuk mak, luahan Nazeera Sardi sentuh hati netizen

LocalFamily & Parenting
28 Feb 2026 • 4:42 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Pelakon, Nazeera Sardi, 39, meluahkan perasaan rindu yang mendalam terhadap ibu tercinta, Allahyarham Siti Nginah Bero, 79, yang meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Nazeera memuat naik kira-kira 20 foto bersama arwah ibunya yang memaparkan pelbagai aktiviti mereka sebagai kenangan indah yang kini tinggal memori.

“Sebulan dah berlalu, Ramadan pun sayu kerana Ramadan kali ini penuh rindu. Rasa rindu suara, kerlingan dan rajuk. Semualah.

View this post on Instagram

A post shared by JERN (@nazeerasardi)

“Mak… pinjamkan semangat mak untuk kami meneruskan hidup. Walaupun yang tinggal hanyalah kenangan untuk dikenang, tapi tidak mungkin berulang,” tulisnya dalam hantaran penuh emosi itu.

Pelakon filem Pagari Bulan itu turut meluahkan kerinduan untuk memotong kuku dan rambut ibunya, selain mengimbau momen mereka meluangkan masa bersama seperti bersenam dan bersiar-siar berdua.

Menurut Nazeera, perkongsian kenangan itu bukanlah ucapan selamat tinggal buat selamanya kerana dia percaya mereka akan dipertemukan semula suatu hari nanti.

“Ini bukan selamat tinggal selamanya, kita akan jumpa suatu hari nanti. Mak ‘spend time’ dulu dengan abah ya.

“Allah lebih sayangkan mak dan abah yang akan selalu dalam doa. Terima kasih sebab didik kami jadi sekuat ini. Bukan tak berdamai dengan takdir, hati ini cuma rindu,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengikut dan rakan selebriti menitipkan ucapan takziah serta mendoakan agar Nazeera terus tabah menghadapi ujian kehilangan insan tersayang.

Sebelum ini, Nazeera memaklumkan ibunya selesai menjalani pembedahan di kepala akibat strok dan berada dalam keadaan kritikal sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut.

Allahyarham Siti Nginah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.47 pagi, 24 Januari lalu. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan.