Ringgit dibuka tinggi dorongan kemajuan rundingan AS-Iran

Business & Finance
3 Nov 2026 • 9:23 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ringgit dibuka tinggi dorongan kemajuan rundingan AS-Iran
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Selasa. Foto hiasan

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Selasa didorong oleh tanda-tanda kemajuan dalam rundingan diplomatik antara Washington dan Teheran.

Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0690/0750 berbanding dolar AS daripada 4.0695/0735 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, rundingan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berpotensi membawa kepada pembukaan semula Selat Hormuz.

Harga minyak mentah Brent menurun dengan ketara sebanyak 8.12 peratus kepada US$104.21 setong.

"Pada masa yang sama, lelongan Bil Perbendaharaan AS untuk tempoh tiga dan enam bulan menyaksikan penurunan hasil, menunjukkan bahawa jangkaan terhadap kenaikan kadar faedah mereda.

"Bagaimanapun, situasi di Asia Barat masih tidak menentu dan pemain pasaran akan terus memantau keputusan pilihan raya pertengahan penggal AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Mohd Afzanizam menjangka ringgit diniagakan dalam jajaran kecil hari ini berikutan sentimen pasaran kekal berhati-hati.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.5540/5607 daripada 4.5652/5697 semasa ditutup pada Isnin, naik berbanding pound kepada 5.4561/4642 daripada 5.4621/4675, bagaimanapun menurun berbanding yen kepada 2.5769/5809 daripada 2.5766/5793 sebelum ini.

Ringgit mencatatkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1809/1858 daripada 3.1825/1862, bagaimanapun mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 224.1/224.5 dan peso Filipina kepada 6.39/6.41.

Mata wang tempatan menurun berbanding baht Thailand kepada 12.0634/0920 daripada 12.0496/0661 semasa ditutup pada Isnin. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved