Ringgit dijangka berlegar antara RM4.45 dan RM4.55 berbanding dolar AS minggu depan - Kenanga Research
herman
09/08/2024 - 16:23
KUALA LUMPUR 9 Ogos - Ringgit dijangkakan belegar sekitar RM4.45-RM4.55 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam beberapa minggu akan datang, kata Kenanga Research.
Menurut firma penyelidikan itu, ini berdasarkan perkembangan semasa di AS dengan ringgit dijangka terus mendapat manfaat daripada keadaan ekonoi makro domestik yang menggalakkan.
"Walaupun kami tetap optimis prestasi ringgit dalam beberapa bulan akan datang, kami percaya kerisauan mengenai kemelesetan ekonomi semasa AS adalah berlebihan.
"Pasaran juga mungkin meramalkan pemotongan kadar Rizab Persekutuan (Fed) melebihi daripada yang sepatutnya," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research kekal meramalkan dua pemotongan kadar oleh Fed terutama memandangkan risioko politik dan geopolitik yang akan datang.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Ringgit cecah 4.40 berbanding dolar pada 5 Ogos 2024
"Kadar pengangguran mingguan AS yang lebih rendah daripada dakwaan ditambah dengan kemungkinan peningkatan 0.2% bulan ke bulan dalam inflasi teras AS minggu depan, mungkin akan meredakan jangkaan untuk pemotongan kadar yang agresif.
"Ini membolehkan dolar AS memperoleh kembali sebahagian daripada daya tarikannya sebagai aset selamat," jelasnya.
Dalam pada itu, Kenanga Research berkata, seperti yang diramalkan dalam nota penyelidikan forex sebelum ini, laporan pekerjaan AS yang lebih lemah daripada yang dijangkakan pada Jumaat lalu telah mempengaruhi dengan ketara jangkaan mengenai hala tuju dasar Fed.
Katanya, pasaran kini menganggarkan pengurangan kadar sebanyak 50 mata asas pada bulan September.
"Perubahan ini telah menurunkan Indeks Dolar AS (DXY) ke paras 102.7 dan menarik hasil Perbendaharaan AS 10 tahun di bawah 3.8% pada hari Isnin, menyebabkan ringgit mengukuh ke paras yang lebih baik daripada jangkaan iaitu RM4.43.
"Kemudian, ringgit membetulkan kepada sekitar RM4.70-RM4.50 apabila DXY melantun melebihi 103.0, disebabkan pemulihan dalam aktiviti sektor perkhidmatan AS, yang mengurangkan kebimbangan kemelesetan," ujarnya. - DagangNews.com


