Ringgit ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama, rendah daripada dolar AS

Business & Finance
9 Apr 2026 • 7:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama - Gambar hiasan

RINGGIT ditutup kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama hari ini, namun susut sedikit berbanding dolar AS berikutan kebimbangan gencatan senjata antara AS dan Iran mungkin tidak berpanjangan.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan itu turun kepada 3.9795/9845 berbanding dolar AS daripada paras 3.9735/9785 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Iran mendakwa berlaku pelanggaran gencatan senjata susulan serangan Israel ke atas wilayah Lubnan.

"Sehubungan itu, harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent masing-masing meningkat kira-kira 3.47 peratus dan 3.63 peratus kepada AS$97.69 setong dan US$98.19 setong.

"Keadaan ini mengekalkan sentimen penghindaran risiko, sekali gus mendorong kalangan peniaga dan pelabur mengambil pendekatan dagangan lebih defensif,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan itu meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3337/3404 daripada 5.3348/3415, dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5028/5061 daripada 2.5071/5104, namun susut berbanding euro kepada 4.6457/6515 daripada 4.6407/6465 semalam.

Pada masa sama, ringgit turut diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 232.8/233.2 daripada 233.5/233.9, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.3976/4201 daripada 12.4056/4282, dan naik berbanding peso Filipina kepada 6.66/6.67 daripada 6.68/6.70.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1204/1246 daripada 3.1155/1199 sebelumnya. - Bernama: Ringgit, tutup, dolar AS, gencatan senjata, ketahanan, Asia Barat, Mohd Afzanizam Abdul Rashid