Ringgit ditutup rendah berbanding dolar US

Business & Finance
16 Dec 2022 • 7:04 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah minggu ini berbanding dolar US di tengah-tengah prospek memberangsangkan oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) dan Bank Pusat Eropah (ECB).

Isyarat Fed dan ECB telah menyebabkan sentimen risiko serta-merta menjadi tidak menarik sehingga pelabur melihat tidak ada tarikan dalam aset berisiko, pada masa yang sama mereka cuba menjangkakan kadar baharu yang akan diperkenalkan.

Pada 6 petang, nota tempatan itu diniagakan pada 4.4220/4265 berbanding dolar US daripada 4.4195/4260 yang direkodkan semasa ditutup semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata dalam tempoh seminggu yang menyaksikan harapan utama pasaran 2023 dijejaskan, pelabur mula mengkaji pergerakan semalaman dengan lebih terperinci.

“Pelabur sedang menentukan sama ada kejatuhan sentimen risiko adalah sebahagian daripada isu kesuraman ekonomi yang lebih besar dan kompleks atau, dengan babak risiko ketara mula menjadi sejarah, bakal menyaksikan keadaan yang lebih baik pada akhir tahun?” katanya kepada Bernama.

Di tengah-tengah situasi ini, beliau berkata bagi ringgit, harapan untuk prestasi yang lebih baik masih lagi belum jelas memandangkan ketidakpastian yang semakin meningkat mengenai pembukaan semula China dengan lonjakan kes COVID-19.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.3705/3760 daripada 5.4410/4521 dan lebih baik berbanding dolar Singapura kepada 3.2531/2569 daripada 3.2554/2625 yang dicatatkan pada Khamis.

Ia meningkat sedikit berbanding yen Jepun kepada 3.2230/2265 daripada 3.2296/2364 tetapi susut berbanding euro kepada 4.6926/6974 daripada 4.6845/6940 sebelum ini. - Bernama