Ringgit kekal mengukuh di bawah paras 4.00 dipacu sentimen positif

Business & Finance
27 Jan 2026 • 7:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ringgit turut mencatat prestasi positif berbanding mata wang utama lain. - Foto hiasan

SENTIMEN positif dan pendirian pelabur menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka (FOMC) Amerika Syarikat (AS) malam ini terbukti mendorong ringgit untuk terus bertahan kukuh di bawah paras psikologi 4.00 berbanding dolar AS pada akhir urus niaga hari ini.

Pada jam 6 petang, ringgit mengukuh kepada 3.9500/9555 berbanding dolar AS daripada 3.9615/9670 semalam, yang merupakan paras tertinggi sejak mencatat 3.9480 pada Mei 2018.

Bercakap kepada Bernama, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mesyuarat dua hari FOMC di AS yang bermula malam ini akan dipantau rapat oleh peniaga dan pelabur bagi mendapatkan gambaran mengenai prospek ekonomi dan hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Pasaran misalnya telah menjangkakan dua pengurangan kadar faedah utama AS tahun ini, yang memaparkan persepsi bahawa Fed mengamalkan kelonggaran dasar apabila keadaan ekonomi berkembang.

"Selain itu, pengerusi baharu bank pusat AS akan dilantik dalam masa terdekat dan dijangka diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump, tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sentimen dalam masa terdekat kekal positif, pasaran dijangka terus berwaspada terhadap hala tuju kadar faedah bagi tahun 2026.

Pada pagi ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata angka ekonomi yang positif berjaya memperkukuh kedudukan dan nilai ringgit, malah pengukuhan mata wang itu juga menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara, sejajar dengan peningkatan indikator utama.

“(Pengukuhan) ringgit tidak harus dilihat secara terpisah, tetapi perlu dilihat juga dari segi peningkatan pelaburan, pendapatan serta kadar pengangguran yang berkurangan.

“Angka ekonomi secara keseluruhannya menunjukkan petanda positif dan berjaya memperkukuh kedudukan ringgit,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, ringgit turut mencatat prestasi positif berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4103/4178 daripada 5.4166/4241 semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.6958/7023 daripada 4.6999/7064 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5691/5730 daripada 2.5783/5820 sebelum ini.

Prestasi sama turut dicatatkan ringgit berbanding mata wang negara anggota ASEAN lainnya iaitu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1174/1219 daripada 3.1242/1288 semalam, naik berbanding baht Thailand kepada 12.7247/7478 daripada 12.7441/7679, mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 235.5/236.0 daripada 236.0/236.4 serta naik berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.70 daripada 6.72/6.73. - Bernama