Ringgit Kekal Stabil Walaupun Data Memihak USD

LocalBusiness & Finance
26 Jun 2026 • 11:00 AM MYT
Intraday
Intraday

Media Pasaran Kewangan No.1 dalam Bahasa Malaysia

Ringgit Kekal Stabil Walaupun Data Memihak USD

Ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar AS pada Jumaat apabila data ekonomi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan terus menyokong pengukuhan mata wang negara itu.

Pada jam 10:22 pagi, ringgit berada pada paras RM4.1050 iaitu positif 0.24% sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.

Walau bagaimanapun, pembukaan semula Selat Hormuz membantu meningkatkan selera pelabur terhadap aset berisiko, sekali gus mengehadkan penyusutan nilai ringgit.

Amerika Syarikat melaporkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama sebanyak 2.1%, lebih tinggi daripada jangkaan pasaran sebanyak 1.6%.

Sementara itu, kadar inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) bagi bulan Mei berada pada 4.1%, selaras dengan jangkaan pasaran.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.18% kepada 101.431 mata selepas data PCE diumumkan.

Beliau menjelaskan bahawa pertumbuhan penggunaan pengguna kekal di bawah 1% untuk dua suku berturut-turut, sekali gus memberi gambaran bahawa perbelanjaan pengguna di AS masih lemah.

Menurut beliau, kenaikan dolar AS mungkin tidak dapat dikekalkan dalam tempoh panjang, terutamanya apabila harga minyak mentah terus menurun susulan tempoh 60 hari rundingan damai antara Amerika Syarikat dan Iran.

Pada sesi pembukaan dagangan, ringgit turut diniagakan lebih lemah berbanding beberapa mata wang utama dunia.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.4295/4427 daripada 5.4261/4314 ketika ditutup semalam. Ia turut merosot berbanding euro kepada 4.6777/6891 daripada 4.6762/6807, selain melemah berbanding yen Jepun kepada 2.5445/5508 daripada 2.5437/5464.

Berbanding mata wang serantau, prestasi ringgit dilihat hampir tidak berubah.

Ringgit kekal mendatar berbanding dolar Singapura pada 3.1742/1824 berbanding 3.1742/1775 semalam. Ia juga tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 229.4/230.1 daripada 229.4/229.7, serta kekal stabil berbanding peso Filipina pada 6.71/6.73 berbanding 6.71/6.72.

Bagaimanapun, ringgit sedikit lemah berbanding baht Thailand kepada 12.3245/3618 daripada 12.3370/3538 pada penutupan dagangan sebelumnya. – Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved