
KUALA LUMPUR 9 Dis – Pengeluar sarung tangan negara kini berdepan tekanan berganda apabila kejatuhan harga jualan akibat lebihan bekalan dan persaingan sengit turut diburukkan dengan pengukuhan nilai ringgit hampir 9% setakat tahun ini, menurut BIMB Securities.
BIMB Securities berkata, dalam persekitaran margin yang sudah sedia ketat, pengeluar mempunyai ruang yang sangat terhad untuk menaikkan harga jualan bagi mengimbangi pergerakan mata wang.
Katanya, pelabur saham sarung tangan juga lazimnya bertindak balas lebih awal terhadap pergerakan kadar pertukaran sebelum pengumuman prestasi kewangan.
“Walaupun pengukuhan ringgit dalam kadar sederhana, ia boleh memberi tekanan penilaian serta-merta, didorong sentimen pasaran dan kesan terjemahan mekanikal hasil dalam dolar AS kepada ringgit, bukan disebabkan perubahan ketara terhadap keuntungan sebenar,” jelas BIMB Securities.
Saham syarikat utama sektor ini seperti Top Glove Corporation Bhd dan Hartalega Holdings Bhd telah susut lebih separuh daripada nilai pasaran masing-masing sepanjang tahun ini, dengan penganalisis memberi amaran sektor itu masih belum pulih sepenuhnya walaupun terdapat tanda pemulihan kecil.
Industri sarung tangan terus berdepan lebihan bekalan besar-besaran susulan kemasukan pesaing dari China yang membina kilang serta meningkatkan kapasiti pengeluaran di negara Asia Tenggara lain bagi mengelak tarif Amerika Syarikat.
Lambakan sarung tangan buatan China di pasaran bukan AS turut meningkatkan tekanan terhadap pengeluar tempatan.
Menurut BIMB Securities, jualan sarung tangan hampir sepenuhnya didenominasikan dalam dolar AS, namun hanya 80% daripada jumlah kos pengeluar berada dalam mata wang yang sama, menyebabkan hasil eksport mengecil apabila ringgit mengukuh.
“Kesan terjemahan ini mungkin kecil dari segi mutlak, tetapi menjadi signifikan apabila pengeluar sudah beroperasi dalam persekitaran margin yang terhimpit,” katanya.
Analisis BIMB Securities menunjukkan bahawa pengukuhan ringgit sekitar 3% hingga 5% masih boleh dikawal, dengan impaknya terhadap pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dianggarkan antara 0.8% hingga 4.7%. - DagangNews.com
