Ringgit tidak akan ditambat, kerajaan tidak perlu bertindak tergesa-gesa, kata Amir Hamzah
herman
19/03/2024 - 13:08
KUALA LUMPUR 19 Mac - Kerajaan tidak mempunyai perancangan buat masa ini untuk menambat nilai ringgit seperti yang pernah dilakukan lebih 20 tahun lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tindakan tergesa-gesa dalam menangani kejatuhan nilai ringgit tidak perlu kerana situasi ekonomi sekarang berbeza dengan 1998.
Katanya, pasaran saham pada 1998 sebagai contoh telah jatuh 76% sedangkan sekarang pasaran saham meningkat 6% dari awal tahun.

"Pinjaman luar negara pada 1998 adalah lebih 16% daripada KDNK, sekarang pinjaman Malaysia dari luar negara hanya 2.1%.
"Kita tengok rizab Bank Negara kini RM113 bilion, ini lebih elok berbanding RM26 bilion pada 1998.
"Jadi tidak ada keperluan untuk bertindak balas tergesa-gesa dalam isu ini," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Amir Hamzah menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang bertanya adakah kerajaan merancang untuk menambat ringgit.
Bagi Mohamad Fatmi, ini bagi melindungi aset negara daripada 'penjajahan' asing susulan penyusutan nilai ringgit yang menjadikan saham di Bursa Malaysia murah bagi pelabur asing.
Sementara itu, Amir Hamzah sekali lagi menegaskan kerajaan memang peka terhadap isu ringgit dan akan berusaha untuk menanganinya.
Beliau berkata, penganalisis juga berpendapat bahawa ringgit akan mengukuh pada tahun ini ke tahap yang lebih baik dan diunjurkan meningkat kepada RM4.50.
"Menerusi Kerangka Ekonomi MADANI, kita percaya yang ringgit akan lebih elok pada masa depan," jelasnya.
Sementara itu, berhubung soalan mengenai langkah meminta GLC dan GLIC membawa pulang pelaburan ke Malaysia, Amir Hamzah berkata, tiada perundangan yang boleh memaksa perkara itu dilakukan.
Katanya, perkara itu boleh dilakukan menerusi perbincangan dan dengan dengan mengutamakan pelaburan dalam negara ia akan mengukuhkan ringgit.
"Kerajaan juga tengok pada ekonomi negara dengan KDNK dijangka mengukuh didorong kenaikan eksport.- DagangNews.com



