
Aku menemani Mak ke Hospital Besar Pulau Pinang tak lama dulu untuk pemeriksaan bulanan beliau. Sedang kami duduk termangu menunggu giliran untuk berjumpa doktor, Mak yang bosan menanti sejak pagi lagi mula bersembang dengan seorang makcik yang duduk di hadapan kami.
“Dah lama tunggu?” tanya Mak, membuka bicara.
“Lama jugak,” kata makcik.
Masing-masing tersenyum.
“Kak sakit apa?” tanya makcik.
“Tak sakit, check-up bulanan saja,” jelas Mak. “Kamu?”
Makcik itu merenung wajah Mak lama-lama lalu berkata, “Sakit macam-macam.”
“Biasalah tu. Semakin usia kita meningkat, semakin banyak penyakit,” gurau Mak.
Aku duduk di sisi Mak sambil mengamati perbualan kedua wanita yang menjangkau setengah abad itu.
“Kenapa dengan tangan tu?” tanya Mak.
Baru ku sedar akan tangan kiri makcik tersebut yang membengkak dari bahu hingga ke jari, hampir tiga kali ganda saiznya berbanding dengan tangan kanan beliau.
Aku cepat-cepat menarik lengan baju Mak dan menggeleng kepala, isyarat agar Mak tidak terus bertanya soalan, takut makcik tersebut tidak selesa dengan soalan-soalan Mak.
“Eh takpa. Makcik tak kisah. Kadang-kadang bila bercerita, lapanglah dada,” kata beliau.
Makcik itu kemudiannya menceritakan pembedahan di bahagian dada yang terpaksa di laluinya kira-kira tiga belas tahun yang lalu. Dua tahun setelah pembedahan tersebut, tangan kirinya mula membengkak. Menurut doktor, ia berikutan masalah berkenaan urat saraf. Makcik itu sendiri kurang jelas untuk menerangkan keadaannya.
“Sakit tak bila nak buat kerja rumah?” tanya Mak.
“Biasanya kerja rumah pakai tangan kanan saja. Tangan yang bengkak ni kalau gerak sikit pun, sakitnya ya Allah, tak tertahan,” kata makcik sambil mengusap perlahan tangannya yang bengkak.
“Susahlah macam tu,” Mak bersimpati.
“Sakit di tangan ni, boleh lagi tanggung. Tapi sakit di hati yang tak tertanggung,” kata makcik membuka pekung di dada.
“Kenapa?” tanya Mak.
Mata makcik mula berair.
Mak beralih tempat lalu duduk di sisinya sambil mengusap belakang makcik.
“Dah lebih sepuluh tahun tangan dalam keadaan macam ni, tapi tak pernah saya abaikan tanggungjawab di rumah. Tapi saya sedih sebab suami tak pernah nak faham akan kepayahan yang terpaksa saya lalui.
“Dulu masa dia kerja, boleh lagi saya tahan sebab cuma waktu malam dia di rumah. Tapi sekarang ni dah pencen, anak-anak pula dah tak tinggal sekali. Sepanjang hari terpaksa dengar dia berleter, seolah-olah saya ni satu beban. Dia dah lupa siapa yang bantu dia uruskan rumahtangga sepanjang perkahwinan kami, hingga anak-anak dah besar panjang,” kata makcik dengan wajah yang merah.
Mak cuba menenangkan makcik dengan pelbagai cadangan, termasuklah mendapatkan bantuan anak-anak atau sanak-saudara. Tetapi menurut makcik, dia tak dibenarkan keluar rumah sesuka hati – melawat anak atau saudara juga tidak dibenarkan. Makcik hanya boleh ke hospital atau ke masjid. Suaminya sering mengingatkannya bahawa seorang isteri yang baik harus selalu mendengar perintah suami.
“Saya rasa terseksa. Saban hari saya berdoa agar Allah lembutkan hati suami, tapi tak tahulah jika doa saya terlaksana,” katanya menahan sebak.
Dalam perjalanan pulang ke rumah daripada hospital, aku lihat Mak senyap sahaja.
“Mengapa ni Mak? Masih fikirkan tentang makcik tu tadi?” aku bertanya.
Mak menghela nafas panjang.
“Apa yang dia katakan tadi sebenarnya dah jadi lumrah. Mak tahu ramai saudara kita yang turut mengalami nasib yang serupa.
“Kebanyakkan orang Islam, semakin berusia, semakin rajin ke masjid, rajin dengar ceramah, rajin sembahyang dan rajin mendekatkan diri kepada Allah. Tapi....,” Mak bersuara perlahan.
“Habis, kenapa pula mereka boleh melayan isteri sedemikian rupa? Bukankah dalam Islam, suami dan isteri harus saling menghormati?”
Mak menggeleng kepala.
“Dalam setiap ceramah yang pernah Mak hadiri di masjid atau ceramah yang mak ikuti di radio dan TV, atau rencana keagamaan yang mak baca di akhbar, memang selalu ada disebut mengenai kerukunan rumahtangga. Tapi kebiasaanya isu yang ditekankan adalah mengenai tanggungjawab isteri kepada suami.
“Kononnya syurga hanya bagi isteri yang taat pada suami; malaikat melaknat isteri yang mengingkari suami; dan isteri yang mati dalam keadaan bermasam muka dengan suami akan dimurkai Allah.
“Dalam pada para ustaz sibuk menasihati isteri agar menurut kehendak suami walaupun di atas unta, dan mengingatkan para suami akan hak mereka memukul isteri yang tidak taat - soal tanggungjawab suami terhadap isteri sering tercicir,” kata Mak.
“Eh, takkanlah tak ada ustaz yang tak bercakap mengenai suami yang tak taat pada isteri?” tanyaku.
“Memang ada. Tapi kebiasaannya nasihat mereka sama sahaja bagi para isteri – bersabar dan rajin berdoa kepada Allah, moga pintu hati suami terbuka.”
Aku teringat pada makcik di hospital itu tadi. Bersabar dan rajin berdoa - memang itu yang dilakukannya walaupun hidup terseksa.
Pelik. Kalau Islam menekankan soal kerukunan rumah tangga, mengapa para ustaz dan ustazah kita asyik-asyik menekankan soal isteri mentaati suami dan sering memperlekehkan soal suami mentaati isteri?
Wallahu a’lam.
Walau apapun, aku amat bersimpati dengan makcik serta seluruh kaum Hawa yang sama nasib dengan makcik. Dalam pada kita menjunjung agama di dada, sedihnya agama itu sendiri dipergunakan untuk mencicirkan kebahagiaan wanita seperti makcik tersebut.
Apalah salahnya jika para agamawan kita menggunakan masjid, corong radio, TV serta dada akhbar bagi mendidik para suami agar hormat dan kasih pada isteri mereka?
Sedang asyik ustaz dan ustazah kita berulangkali berceramah mengenai solat, wuduk, zakat, puasa, haji dan sebagainya, mengapa tidak disentuh soal kemanusiaan yang dilalui oleh masyarakat kita?
Besarlah harapan aku agar para ustaz dan ustazah yang memikul tanggungjawab mendidik masyarakat berusaha memahami intipati permasalahan yang dihadapi oleh lapisan Muslimin di negara kita agar dapat menjalankan tugas berdakwah dengan penuh amanah.
Jika dapat kita bawa perubahan yang sedemikian, para isteri yang mendamba duka seperti makcik tersebut, mungkin akan mendapat peluang merasa kebahagiaan.
Insya Allah.
Fa Abdul adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
.png)