Risda lancar logo baharu, simbolik aspirasi dan semangat perjuangan

LocalPolitics
29 Sep 2025 • 4:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KOTA BELUD: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) pada Sabtu melancarkan logo baharu seiring usia penubuhan yang menjangkau lebih setengah abad.

Pengerusi Risda, Manndzri Nasib berkata, logo baharu itu merupakan simbol aspirasi, semangat perjuangan serta keutuhan iltizam agensi dalam membela komuniti pekebun kecil di seluruh negara.

Katanya, logo berkenaan bukan sekadar perubahan rupa bentuk visual, sebaliknya membawa makna besar sebagai lambang kekuatan akar umbi pekebun kecil yang menyumbang hampir 90 peratus pengeluaran getah negara.

“Ia mencerminkan iltizam Risda untuk terus bergerak seiring cabaran semasa dan mendatang dalam memastikan sektor pekebun kecil kekal sebagai tonggak utama industri getah negara,” katanya.

Manndzri berkata demikian pada Program Risda Madani (Prisma) Negeri Sabah Tahun 2025 di padang Pekan Kota Belud, Sabtu. Program itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Manndzri, perubahan warna hijau kepada emas menjadi manifestasi kejayaan sepanjang lebih lima dekad perjalanan Risda. Warna emas melambangkan kegemilangan, ketulenan serta pencapaian luar biasa yang  diraih, selain menggambarkan identiti baharu agensi yang lebih moden, profesional, inovatif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran global.

Struktur logo pula turut diperkemas dengan penambahan jalur pada mangkuk getah - daripada sebelas jalur kini menjadi empat belas jalur.

“Perubahan ini menzahirkan peluasan operasi Risda yang kini benar-benar mencakupi seluruh pelusuk negara, menjadikan agensi ini menerajui pembangunan komuniti pekebun kecil yang berskala nasional, inklusif dan menyeluruh.

“Kombinasi warna emas bersama jalur baharu itu membawa aspirasi segar untuk Risda tampil sebagai agensi berprestasi tinggi yang memacu transformasi sektor komoditi getah,” ujarnya.

Manndzri menambah, sejajar dengan Gagasan Malaysia Madani serta hala tuju Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Aspirasi Desa Madani, logo ini juga menegaskan komitmen Risda untuk terus memperkasa pekebun kecil bukan sekadar sebagai penerima manfaat, tetapi sebagai pelaku ekonomi desa yang berdaya tahan dan berdaya saing di peringkat global.

“Pelancaran ini menjadi titik tolak kepada fasa transformasi Risda yang lebih gemilang, sekali gus memperkukuh keyakinan bahawa agensi ini akan terus menjadi tonggak utama dalam membangunkan sosioekonomi pekebun kecil serta menyumbang pertumbuhan mapan industri getah negara,” katanya lagi.