
KUALA LUMPUR – Niat majikan mengambil tindakan terhadap pekerja yang bermasalah boleh bertukar menjadi pertikaian sekiranya prosedur dan undang-undang pekerjaan tidak dipatuhi.
Risiko itu boleh timbul dalam pelbagai keadaan, termasuk kes salah laku, pekerja kerap tidak hadir, prestasi tidak memuaskan dan penamatan perkhidmatan.
Lebih mencabar apabila pemilik perniagaan terpaksa menguruskan isu berkenaan sendiri tanpa sokongan jabatan sumber manusia (HR) yang khusus.
Ketua Pegawai Eksekutif HRXPERT, Dr. Norazlina Abdullah berkata, majikan perlu memahami prosedur yang betul sebelum mengambil tindakan bagi mengelakkan masalah berpanjangan.
“Ramai majikan tahu apabila pekerja melakukan kesalahan, tetapi tidak semua tahu prosedur yang perlu diikuti.
“Kesilapan dalam mengambil tindakan boleh menyebabkan pemilik perniagaan atau syarikat berdepan risiko pertikaian dan tuntutan undang-undang. Sebab itu kami memperkenalkan Talian Kecemasan HR supaya majikan mempunyai tempat untuk mendapatkan panduan awal sebelum membuat keputusan,” katanya.
Menurutnya, pengurusan pekerja memerlukan penelitian kerana keputusan berkaitan disiplin, penggajian dan penamatan perkhidmatan perlu mengambil kira keperluan operasi serta pematuhan undang-undang.
Sehubungan itu, HRXPERT memperkenalkan Talian Kecemasan HR bagi membolehkan majikan mendapatkan panduan awal secara percuma sebelum membuat keputusan berkaitan pekerja.
Inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang tidak mempunyai jabatan HR dalaman atau memerlukan pandangan profesional dalam menangani isu pekerjaan.
Selain panduan awal, khidmat konsultasi profesional turut ditawarkan bagi kes yang memerlukan semakan dokumen, penyediaan surat rasmi, pengendalian tindakan disiplin atau penelitian lanjut.
Sebarang caj bagi khidmat konsultasi berkenaan akan dimaklumkan terlebih dahulu berdasarkan keperluan dan skop kes.
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Pengarah di Ibu Pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Hussain Ali Meah dilantik sebagai Penasihat Utama HRXPERT.
Norazlina berkata, pengurusan HR yang baik bukan sekadar memastikan pekerja mematuhi peraturan, malah membantu melindungi kepentingan perniagaan dan mengekalkan keharmonian di tempat kerja.
Majikan yang memerlukan panduan boleh menghubungi 019-404 3821 atau 012-783 6774, e-mel inquiry@hrxpert.com.my atau melayari https://hrxpert.com.my.
The post Risiko majikan tersilap urus pekerja appeared first on Kosmo Online.



