
PELAKON dan usahawan, Rita Rudaini, memilih untuk menjadikan Ramadan lebih bermakna dengan turun padang bersama anak sulungnya, Airit Rayyan, menyertai program Jalinan Kasih Ramadan BWP X SKP MRSM Sungai Besar di Dataran Merdeka.
Program itu melibatkan pelajar Tingkatan 5 yang turun ke kawasan Dataran Merdeka dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) bagi mengagihkan makanan berbuka dan bersahur kepada golongan memerlukan.
Kehadiran Rita bukan sahaja sebagai ibu, tetapi juga sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni generasi muda ini.
“Walaupun hujan turun renyai, saya tetap bersama anak-anak Ulul Albab mengagihkan makanan untuk berbuka dan bersahur.
"Kebetulan saya ada masa terluang, jadi saya turun padang membantu bersama guru dan pelajar yang kini berada di tahun akhir pengajian,” kata Rita.

Kenangan cukup berharga
Bagi anak kelahiran Perlis, pengalaman bersama pelajar memberikan kenangan yang cukup berharga.
“Masa terasa begitu pantas berlalu ketika melakukan aktiviti ini bersama mereka. Semoga kenangan ini menjadi sesuatu yang manis untuk saya,” tambahnya.
Tidak ketinggalan, pemilik nama penuh Rita Rudaini Mohammad Mokhtar itu turut mengucapkan penghargaan kepada guru yang menganjurkan program, Cikgu Dzulkifli Mahat, yang menurutnya memainkan peranan penting dalam membentuk nilai empati dan keberanian pelajar.
“Terima kasih kepada Cikgu Dzul kerana menganjurkan program CSR ini.
"Anak-anak belajar untuk lebih empati, berani, yakin diri, dan berkongsi rezeki dengan masyarakat,” ujar Rita.
Aktiviti khidmat masyarakat seperti ini, jelas ibu kepada dua putera tersebut amat penting dalam membentuk jati diri generasi muda.
“Melalui program CSR, anak-anak belajar menghargai kehidupan dan memahami bahawa setiap kebaikan kecil mampu memberi makna besar kepada orang lain,” katanya.
Rita juga berharap agar pelajar yang terlibat akan terus membesar sebagai generasi berilmu, berakhlak tinggi, dan menjadi pemimpin masa depan negara.

“Hari ini mereka belajar, esok mereka memimpin. Semoga mereka menjadi pelapis negara yang berakhlak dan berilmu,” katanya lagi.
Sebagai seorang wanita dan ibu, Rita percaya peranan mendidik generasi muda adalah tanggungjawab besar yang menyumbang kepada masa depan negara.
“Tugas saya sebagai seorang wanita untuk negara adalah mendidik, membina dan membesarkan generasi yang lebih baik daripada kita.
"Wanita yang menanam nilai dan ilmu dalam anak-anak sebenarnya sedang membina masa depan negara,” tegasnya.

