
RIUH Merdeka Selama 30 Jam Tanpa Henti, Rai Kreativiti & Perpaduan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan
Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures (“MyCreative”) akan menganjurkan RIUH Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 selama 30 jam tanpa henti bermula 30 Ogos 2025 (Sabtu), pukul 12.00 tengah hari hingga 31 Ogos 2025 (Ahad), pukul 6.00 petang bertempat di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru, Putrajaya.
RIUH Merdeka yang dianjurkan sebagai acara sisipan sambutan Hari Kebangsaan 2025 ini, akan menyemarakkan lagi semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara melalui seni, budaya, dan kreativiti. Acara ini turut menjadi platform buat penggiat industri kreatif dan usahawan tempatan untuk menonjolkan bakat, membuka peluang perniagaan, serta merapatkan hubungan komuniti.
Dijangka bakal menarik lebih 25,000 orang pengunjung, acara ini akan menampilkan pelbagai aktiviti istimewa termasuk persembahan muzik secara langsung oleh artis ternama tanah air seperti Yuna, Misha Omar, Pop Shuvit, Aliff Satar & The Locos, IamNeeta, Datuk Zainalabidin, dan ramai lagi.
Selain itu, lebih 80 vendor akan turut serta dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan, minuman, pakaian, aksesori, dan produk kecantikan. Pengunjung juga berpeluang menyertai bengkel kreatif percuma serta aktiviti mesra keluarga
sepanjang 30 jam acara ini berlangsung.
Kemuncak sambutan pada malam Ambang Merdeka akan dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api yang pasti menjadi saat yang ditunggu-tunggu oleh para pengunjung.
Dengan gabungan seni kreatif, muzik, dan komuniti, RIUH Merdeka bukan sekadar hiburan tetapi wadah untuk meraikan semangat kemerdekaan bersama rakyat Malaysia.
Ikuti RIUH di laman sosial di Instagram dan Facebook @riuhinthecity dan @mycreativeventures.
The post RIUH Merdeka Selama 30 Jam Tanpa Henti, Rai Kreativiti & Perpaduan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan appeared first on Siakap Keli.



