PETALING JAYA - Penganjuran program Riuh Sokmo di Ketereh, Kelantan bermula semalam hingga Ahad, dijangka dimeriahkan dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung sekali gus merancakkan lagi industri kreatif tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative), Junady Nawawi berkata, pelbagai pengisian telah direncana untuk pengunjung, termasuk persembahan kebudayaan serta warisan seperti wayang kulit, dikir barat dan silat tari.

Menurut beliau, persembahan kemuncak pada program berkenaan juga diyakini menjadi tarikan utama kerana menampilkan artis terkemuka seperti kumpulan Wings, Datuk Ramli Sarip, Kugiran Masdo dan Faizal Tahir.
"Kelantan menjadi pilihan kerana sebagai satu masyarakat, negeri tersebut sememangnya kaya dari segi budaya dan warisan. Itu yang kita hendak bantu bangkit dan wujudkan semula. Dengan pengalaman yang kita ada pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) sebelum ini, kita akan membawa persembahan kebudayaan kepada masyarakat di sana terutama orang muda.
"Penganjuran ini juga bagi meneruskan momentum siri edisi Riuh dianjurkan sebelum ini yang kita lihat mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai," katanya kepada Getaran ketika ditemui semalam.
Junady memberitahu, Riuh yang merupakan antara platform untuk mempertingkat penyertaan industri kreatif bersama masyarakat setempat telah dimulakan selepas pengumuman Bajet 2022.
Jelasnya, MyCreative telah menerima peruntukan sebanyak RM20 juta untuk menjalankan siri kembara pada tahun ini.
“Edisi pertama tambah dilangsungkan di Ayer Hitam, Johor pada Mac, iaitu ketika negara belum lagi memasuki fasa peralihan ke endemik namun tetap dihadiri lebih 8,000 pengunjung.
"Apa kami nampak, di Ayer Hitam, ia menarik pengunjung bukan sekadar dari utara Johor, tetapi juga Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka," katanya.
Junady memberitahu, jumlah pengunjung meningkat kepada 25,000 untuk edisi Riuh di Kota Kinabalu, Sabah pada Jun lalu, yang sarat memperincikan elemen kreatif seni dan budaya dalam pelbagai bentuk.
“Riuh di Kota Bharu, Kelantan yang menyokong program JAKM pada Julai pula diisi dengan persembahan makyong dan dikir barat.
"Kemudian kita ke Melaka iaitu Dataran Pahlawan pada Ogos, yang kita panggil Riuh Nau. Itu contoh kita selarikan dengan cita rasa negeri. Kandungannya seimbang, maknanya 50 peratus kandungan tempatan dan selebihnya dari Semenanjung serta Malaysia Timur. Riuh Nau ini sambutannya lebih daripada 32,000 pengunjung. Itu menunjukkan trend itu ada peningkatan “ katanya, bangga.
Ditanya berhubung perancangan buat program Riuh selepas ini, Junady berkata, ia akan diteruskan di beberapa lagi negeri.
Tambah beliau, MyCreative sememangnya memohon peruntukan melalui Bajet 2023 dan berharap peruntukan tersebut dapat ditambah berbanding jumlah diterima tahun ini.
"Kalau tidak dapat, kita akan teruskan juga menggunakan dana dalaman setakat mana kami mampu. Sekiranya kami tiada peruntukan dari segi kembara ke negeri-negeri, kita mungkin terhad kepada lokasi sekitar di Lembah Klang atau berdekatan pusat bandar seperti Ipoh dan Melaka.
"Kalau tiada peruntukan, kita tidak dapat jelajah jauh. Namun, kita akan teruskan kerana ia mandat diberikan kepada kami," katanya, mengakhiri perbualan. - Getaran, 16 September 2022
