hamden07/05/2026 - 16:26 Datuk Rizal Rickman Ramli Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Mei - Permodalan Nasional Berhad (PNB ) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Rizal Rickman Ramli sebagai Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan (PGCE) yang baharu berkuat kuasa 1 Julai 2026 susulan persaraan Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Abdul Rahman akan bersara daripada semua jawatan eksekutif setelah tamat kontrak dua tahun beliau bersama PNB. Tarikh akhir bekerja beliau adalah pada 31 Mei 2026.

Rizal Rickman yang kini merupakan Timbalan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan, akan memegang peranan sebagai Pemangku Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan sebelum pelantikan rasmi beliau pada 1 Julai.
Susulan pelantikan itu, Rizal Rickman membawa lebih daripada lapan tahun pengalaman kepimpinan progresif di PNB, termasuk mengetuai bahagian Hartanah, Pasaran Persendirian, Pelaburan Strategik dan Pengurusan Pengawasan Pelaburan, dan terkini sebagai Timbalan PGCE, di mana beliau bertanggung jawab di atas keseluruhan strategi dan operasi Kumpulan.
Sebelum menyertai PNB pada tahun 2018, Rizal Rickman pernah memegang jawatan “Country Managing Partner” Malaysia di firma perundingan global, Boston Consulting Group.
Beliau membawa pengalaman luas dalam strategi, pengurusan portfolio dan pelaburan, dengan ciri kepimpinan yang kukuh serta pemahaman menyeluruh terhadap misi, nilai dan Agenda Nasional serta Bumiputera PNB.
Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan pelantikan Rizal Rickman, yang mencerminkan kejayaan pelaksanaan perancangan penggantian dalaman PNB yang berkesan.
Pelantikan Rizal Rickman akan memastikan kesinambungan dan kestabilan kepimpinan ketika PNB terus melangkah kukuh bagi merealisasikan Pelan Strategik LEAP-6 serta merangka pertumbuhan masa depan sejajar dengan matlamat PNB untuk memperkasa kehidupan kewangan rakyat Malaysia merentas generasi.
Lembaga Pengarah, pihak pengurusan dan warga kerja PNB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Abdul Rahman atas sumbangan beliau yang amat bernilai sepanjang lima tahun bersama PNB merentasi dua tempoh perkhidmatan.
Kepimpinan dan komitmen beliau telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh fokus strategik PNB serta pelaksanaannya, di samping memperteguh budaya kecemerlangan organisasi. - DagangNews.com
