Rizky Febian, Fabio Asher & Anggi Marito Berkongsi Pentas Untuk Malam 3 Suara

EntertainmentMusic
12 Sep 2025 • 3:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Sebuah konsert hebat bakal berlangsung pada 14 Disember nanti di Idea LIVE Arena, Kuala Lumpur, menampilkan tiga artis ternama Indonesia iaitu Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito. 

Dibawakan buat julung kalinya oleh Strategy X Entertainment Sdn. Bhd, ketiga-tiga bintang ini akan berkongsi pentas di Malaysia dalam sebuah persembahan eksklusif yang dijangka menarik perhatian ribuan peminat, terutamanya peminatRizky Febian, Fabio Asher & Anggi Marito.

Konsert yang dinamakan ‘Malam 3 Suara’ ini dijangka menjadi acara muzik ikonik yang bukan sahaja memberi pengalaman hiburan bertaraf antarabangsa, tetapi turut memberi peluang kepada peminat di Malaysia untuk menikmati sebuah persembahan yang lebih intim, membuai perasaan.

Wakil penganjur berkata, konsert ini sesuai dengan namanya, merupakan sebuah malam istimewa yang menyatukan tiga penyanyi dengan identiti sendiri.

Menurut beliau, setiap daripada mereka membawa keunikan suara, karakter muzik serta emosi yang berbeza.

“Anggi Marito dengan kelembutan dan ketulusan vokalnya, Fabio Asher dengan balada penuh emosi yang menyentuh jiwa dan Rizky Febian dengan pesona serta gaya persembahan yang penuh warna. Apabila tiga elemen ini digabungkan, lahirlah sebuah harmoni yang indah dan saling melengkapi.

“Malam 3 Suara bukan sekadar konsert, tetapi sebuah naratif yang dirangkai melalui muzik. Ia membawa penonton menyelami kisah-kisah cinta, kerinduan, harapan dan kebersamaan seolah-olah menemani perjalanan perasaan setiap insan.

“Konsert ini dirancang untuk memberikan pengalaman muzik yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyentuh hati dan meninggalkan memori yang sukar dilupakan,” katanya. 

image is not available

Pada konsert itu nanti, penonton akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian lebih dua jam. Percayalah, anda akan terbuai dan terpesona dengan kelunakan vokal ketiga-tiga penyanyi hebat ini.  

Terbahagi kepada beberapa segmen istimewa, setiap artis mempunyai segmen persembahan solo, di mana mereka membawakan lagu-lagu hits masing-masing. 

Selain itu, terdapat juga segmen duet serta persembahan kolaborasi khas yang hanya boleh disaksikan pada malam konsert. 

Secara keseluruhannya, penonton akan dihiburkan dengan lebih daripada 20 buah lagu yang dipilih secara teliti bagi memastikan penonton melalui perjalanan emosi yang menepati konsep ‘Malam 3 Suara’.

Rizky Febian, yang digelar sebagai salah seorang ikon generasi baharu muzik pop Indonesia, dikenali dengan suara unik serta keupayaannya menyampaikan emosi secara mendalam melalui lagu-lagu hit seperti Hingga Tua Bersama, Kata, Penantian Berharga, Cuek dan Mantra Cinta.

Dengan lebih tujuh juta pendengar bulanan di Spotify dan rekod konsert yang sentiasa mendapat sambutan penuh di Indonesia serta rantau Asia Tenggara, Rizky terus membuktikan pengaruhnya sebagai antara artis paling berpengaruh di Asia.

“Saya amat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur, dan bertemu dengan peminat di Malaysia. Ini adalah sebuah peluang berharga untuk berkongsi muzik saya secara lebih dekat dan mencipta kenangan indah bersama anda semua,” ujar Rizky apabila ditanya tentang konsert ini.

Fabio Asher dan Anggi Marito pula merupakan dua bintang muda yang semakin bersinar. 

Fabio Asher popular lagu balada penuh emosi Bertahan Terluka dan Rumah Singgah. Kedua-dua lagu ini dengan pantas mencuri perhatian peminat muzik di Indonesia dan rantau ini. 

Dikenali kerana liriknya yang menyentuh jiwa serta keupayaannya menyampaikan perasaan secara tulus, Fabio kini menjadi antara artis kegemaran generasi muda, terutamanya kalangan milenial dan Gen Z.

Anggi Marito merupakan pemenang tempat ketiga Indonesian Idol musim kesebelas yang bersiaran di stesen televisyen RCTI pada tahun 2020-2021. 

Gadis berusia 23 tahun ini tampil dengan vokal yang bertenaga dan memikat. Dikenali menerusi lagu Tak Segampang Itu dan Cara Mencintaimu, Anggi membawa aura segar dengan pesona pentas yang kuat serta bakat vokal yang semakin diiktiraf.

Kehadirannya dalam konsert ini dijangka menambah warna dan variasi kepada persembahan keseluruhan.

image is not available

Tiket untuk konsert Malam 3 Suara kini sudah pun mula dijual di Ticket2u

Berikut ialah butiran kategori tempat duduk dan harga tiket:

Ground Floor (Bawah)

• Malam Rawan – RM448

• Hingga Tua Bersama – RM388

• Rumah Singgah – RM298

• Cara Mencintaimu – RM228

• Tak Segampang Itu – RM188

Upper Floor (Atas)

• Kesempurnaan Cinta – RM338

• Bertahan Terluka – RM288

• Tanpa Rasa Bersalah – RM268

• Makna Cinta – RM318 - Getaran, 12 September 2025