
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Rizky Febian mengakui kini mula menitikberatkan soal penjagaan kesihatan terutama selepas bergelar seorang bapa.
Menurut Rizky atau nama lengkapnya, Rizky Febian Adriansyah Sutisna, 28, dia mahu meluangkan lebih banyak masa bersama puterinya iaitu Zairee Selina Quinlyn Kareema Febian yang kini berusia setahun lapan bulan.
“Banyak perubahan yang berlaku dalam hidup saya sejak kehadiran anak saya Selina. Antaranya saya mula menitikberatkan soal penjagaan kesihatan.
“Sekarang saya sudah mula bersukan dan menjalani kehidupan yang sihat. Satu hal yang ‘trigger’ saya adalah saya mahu mempunyai lebih banyak waktu untuk bersama isteri dan anak.
“Sekarang tiada apa lagi yang saya mahukan. Allah sudah berikan semuanya untuk saya. Rezeki yang melimpah, isteri yang cantik dan anak perempuan yang cantik. Cuma jalani kehidupan dengan penuh rasa syukur dan sihat,” katanya pada sidang media konsert Malam Rawan Diorama Rizky Febian, di sini, hari ini.
Tambah pelantun lagu Alamak itu, seiring peningkatan usia, pemikirannya juga lebih matang dan lebih memikirkan soal masa depan.
“Saya sudah fikir lima tahun ke depan bagaimana kehidupan saya dan Mahalini. Bagaimana kehidupan anak saya bila dia sudah besar nanti.
“Jadi sekarang saya bekerja keras untuk membahagiakan isteri dan saya semampu yang boleh,” jelasnya.
Bakal beraksi buat kali ketiga di Kuala Lumpur, ujar Rizky dia teruja kembali bertemu peminatnya di sini selepas tiga tahun.
“Kali terakhir saya buat konsert di sini adalah tiga tahun lalu. Ketika itu saya belum menikah. Kalau ini saya hadir dengan status baharu. Sebagai seorang suami dan bapa,” katanya.
Konsert Malam Rawan Diorama Rizky Febian bakal berlangsung pada 29 November depan bertempat di Zepp Kuala Lumpur yang akan turut diserikan dengan kehadiran Nadhif Basalamah. – KOSMO! ONLINE
The post Rizky Febian pentingkan hal kesihatan sejak kehadiran Selina appeared first on Kosmo Online.

