RJJ, Jin Jiang Hotels buka 100 hotel di ASEAN dalam tempoh 5 tahun

29/05/2025 - 12:30
Gambar/The RIYAZ Lavanya Langkawi Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 29 Mei - RJJ Hotels Sdn Bhd, syarikat milik penuh Malaysia di bawah RIYAZ International Sdn Bhd, memeterai perjanjian strategik dengan gergasi hotel dunia, Jin Jiang Hotels dari China, bagi mengurus dan membangunkan sehingga 100 hotel di Asia Tenggara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Melalui perjanjian pelesenan itu, RJJ Hotels diberi hak eksklusif untuk mengembangkan lima jenama utama di bawah Jin Jiang Hotels di rantau ASEAN iaitu Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina, Kemboja dan Laos.
Langkah pertama kerjasama dimulakan di Luang Prabang, Laos, apabila RJJ menandatangani Perjanjian Pengurusan Hotel (HMA) dengan Sanher Investment & Development Co. Ltd.

Hotel tersebut akan membawa jenama Metropolo, iaitu hotel mewah bertaraf empat hingga lima bintang dan dijangka beroperasi pada awal tahun 2026.
Metropolo dikenali dengan gabungan kemewahan klasik dan elemen budaya tempatan, serta biasanya dibina di bandar bersejarah dengan lebih 100 bilik.
Sementara itu, RJJ Hotels turut mengumumkan Malaysia dipilih sebagai ibu pejabat operasinya untuk Asia Tenggara.
Keputusan berkenaan selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan tuan rumah kepada acara besar seperti Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Sukan SEA 2027.

Pengarah Eksekutif RJJ Hotels, Mohammed Amin Mohammed Sidek berkata, kerjasama tersebut mencerminkan keyakinan terhadap potensi pasaran hospitaliti ASEAN.
"Kami yakin dapat menggabungkan kekuatan tempatan dan kepakaran serantau bersama teknologi dan jenama global milik Jin Jiang," katanya dalam satu kenyataan.
Lima jenama hotel yang diurus oleh RJJ Hotels adalah Metropolo Jin Jiang Hotels (hotel bandar empat dan lima bintang); Ginco Hotel (resort mewah lima bintang); Renjoy Hotel (resort mewah lima bintang); Lavande (hotel perniagaan bertaraf sederhana); dan Jinjiang Inn (hotel ekonomi premium).
Perbincangan awal sudah dijalankan dengan pemilik hotel di lokasi utama seperti Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Jakarta, Bali, Vientiane, Ho Chi Minh City dan Manila.

RJJ Hotels dan Jin Jiang akan melancarkan kerjasama itu secara rasmi pada 27 Ogos 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), yang dijangka menghimpunkan lebih 400 pelabur dari China dan rantau ASEAN.
Acara tersebut turut memperkenalkan Platform Pembelian Global Jin Jiang (GPP) yang dikendalikan oleh NOVAC Hospitality, bagi membekalkan perabot, kelengkapan dan peralatan operasi secara lebih berkesan kepada rakan hotel di rantau ini.
Kerjasama berkenaan dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan dan hospitaliti serantau serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada negara-negara terlibat. - DagangNews.com
standard
