RM1.1 juta insentif bantu pekerja gig di Pahang

LocalBusiness & Finance
21 Nov 2026 • 8:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RM1.1 juta insentif bantu pekerja gig di Pahang

KUANTAN: Pekerja ekonomi gig di Pahang bakal menerima manfaat menerusi peruntukan Insentif Bantuan Gig Negeri Pahang berjumlah RM1.1 juta yang diumumkan kerajaan negeri menerusi Belanjawan Pahang 2027.

Insentif secara bayaran sekali (one-off) sebanyak RM300 itu dikhususkan kepada pekerja gig yang berdaftar serta mempunyai caruman aktif di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengerusi Majlis Ekonomi Gig Malaysia (Pahang), Muhammad Faiz Hashim berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan golongan pekerja ekonomi gig yang menjadi sebahagian daripada tenaga kerja penting negara.

Beliau berkata, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban kewangan pekerja gig, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup serta memastikan kelangsungan sumber pendapatan mereka.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas keprihatinan menyediakan insentif ini bagi membantu pekerja gig di negeri ini.

“Walaupun bantuan ini diberikan secara one-off, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung golongan berkenaan,” katanya, semalam.

Muhammad Faiz turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Majlis Ekonomi Gig Malaysia, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin yang disifatkan sentiasa memperjuangkan kepentingan serta kebajikan pekerja gig di seluruh negara.

Menurutnya, perhatian berterusan terhadap golongan berkenaan penting memandangkan sektor ekonomi gig kini menjadi antara pilihan pekerjaan yang menyediakan peluang menjana pendapatan kepada masyarakat.

Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat memberi manfaat kepada pekerja gig yang layak, selain menjadi dorongan kepada lebih ramai penggiat sektor itu untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sosial melalui caruman Perkeso. – UTUSAN

The post RM1.1 juta insentif bantu pekerja gig di Pahang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved