RM1.3 juta 'hadiah' Aidilfitri buat penduduk selesaikan isu banjir kilat

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 9:43 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhamad Arafat (dua dari kiri) menyerahkan salinan surat maklum balas daripada pihak berkaitan kepada empat pengerusi persatuan penduduk taman perumahan terlibat bagi penyelesaian jangka panjang isu banjir kilat di kawasan berkenaan ketika hadir ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Taman Kinding di sini pada Ahad.

IPOH – Kira-kira 3,000 penduduk di enam taman perumahan sekitar Kinding di sini bakal menikmati penyelesaian jangka panjang terhadap isu banjir kilat yang membelenggu mereka lebih sedekad menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah kira-kira RM1.3 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, peruntukan itu melibatkan dua komponen utama iaitu RM321,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diuruskan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta lebih RM1 juta di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, usaha mendapatkan dana tersebut bermula selepas beliau turun padang bersama agensi teknikal serta pihak media bagi meninjau masalah banjir yang telah berlarutan lebih 10 tahun di kawasan berkenaan.

"Isu utama yang dikenal pasti adalah sistem perparitan tidak sempurna termasuk longkang tanah yang semakin sempit serta kerosakan pada laluan air di jalan utama.

"Melalui peruntukan MBI, kerja menaik taraf longkang tanah kepada longkang konkrit akan dilaksanakan, manakala JKR pula memberi tumpuan kepada pembaikan dan pelebaran sistem saliran di jalan utama,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Taman Kinding di sini pada Ahad.

Muhamad Arafat berkata, kedua-dua projek berkenaan telah diluluskan dan kerja pelaksanaan sedang berjalan serta dijangka disiapkan dalam tahun ini.

Jelasnya, apabila kedua-dua komponen ini diselesaikan masalah banjir kilat yang sering menjejaskan penduduk terutama ketika musim hujan akan dapat diatasi sepenuhnya.

Antara kawasan terlibat ialah Taman Kinding Permai, Taman Kinding Hijauan, Taman Kinding Akasia, Taman Kinding Raya, Taman Kinding Flora dan Taman Kinding Perdana.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kinding Akasia, Shaari Shafie berkata, penduduk menyambut baik usaha berkenaan selepas sekian lama berdepan kesukaran akibat banjir.

Menurutnya, masalah tersebut sering menyebabkan laluan keluar masuk terjejas sehingga ada penduduk tidak dapat ke tempat kerja atau pulang ke rumah ketika hujan lebat.

"Dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi teknikal, akhirnya penyelesaian jangka panjang dapat dicapai dan kini hanya menunggu pelaksanaan penuh oleh kontraktor,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kinding Hijauan, Meor Mohd Shahril Abdul Karim berkata, penduduk berasa lega dan bersemangat dengan perkembangan tersebut.

“Kami menyokong penuh usaha ini dan berharap projek dapat disiapkan mengikut jadual demi keselesaan semua,” katanya.

Pada 23 Julai tahun lalu, Sinar Harian melaporkan setiap kali hujan lebat, kira-kira 3,000 penduduk dari enam taman perumahan di Kinding, Chemor di sini terpaksa bersiap sedia dengan penutupan jalan secara ‘semula jadi’ akibat banjir kilat di Jalan Chemor–Tanjung Rambutan.

Bukan sahaja penduduk setempat, bahkan pengguna jalan raya juga berdepan risiko apabila melalui laluan tersebut kerana air menenggelamkan jalan sehingga sejauh 500 meter dengan kedalaman menghampiri satu meter.

View Original Article