RM1.34 bilion lesap angkara penipuan pelaburan kripto, lebih 33,000 mangsa terjerat – MOF

LocalTechnology
7 Dec 2024 • 10:48 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Kementerian Kewangan (MOF) memberi amaran kepada orang ramai mengenai penipuan skim pelaburan kripto yang semakin berleluasa di Malaysia.

Berdasarkan data Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC), sebanyak 33,325 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang tahun 2023, dengan jumlah kerugian mencecah RM1.34 bilion.

Menurut infografik yang dikeluarkan oleh kementerian tersebut, penipuan ini biasanya berpusat di luar negara dan mula dikesan aktif di Malaysia sejak tahun 2022. Pihak terbabit bertindak secara terancang dengan memiliki agen bagi menarik pelabur, pejabat urusan yang kelihatan sah, dan mempromosikan pelaburan mereka melalui media sosial.

Antara taktik lain yang digunakan ialah memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menyamar dan meyakinkan mangsa mengenai kewujudan entiti mereka. Mereka turut menggunakan nama tokoh terkenal sebagai daya tarikan.

Modus Operandi Scammer Kripto:

  • Menawarkan pulangan tinggi dalam masa singkat.
  • Dipromosikan secara meluas melalui media sosial.
  • Meminta wang disalurkan ke akaun individu atau entiti tidak berkaitan.
  • Menyediakan sijil atau dokumen palsu.
  • Mendesak mangsa menyertai pelaburan dengan alasan masa terhad.

Bagi mengelakkan menjadi mangsa, MOF mengingatkan orang ramai untuk:

  • Menyemak status pelesenan syarikat pelaburan di laman Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
  • Mengelak urusan dengan individu tidak dikenali atau panggilan telefon luar negara.
  • Tidak membuat transaksi ke akaun individu atau entiti yang tidak disahkan.

Kementerian turut menasihatkan supaya masyarakat lebih berhati-hati terhadap tawaran pelaburan yang terlalu bagus untuk dipercayai. Sebarang maklumat lanjut atau aduan boleh disalurkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan.