
SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 164,215 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) di seluruh Selangor bakal menikmati peluang lebih luas menyertai aktiviti kokurikulum menerusi peruntukan RM1.425 juta tahun depan.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu disediakan bagi melaksanakan Program Peningkatan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), yang diperkenalkan sebagai program rintis di sekolah agama bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Melalui inisiatif ini, bantuan kewangan akan disalurkan bagi memperluas penyertaan murid dalam aktiviti badan beruniform, kelab dan persatuan serta sukan dan permainan, termasuk penganjuran pertandingan, latihan kepimpinan dan program pembangunan sahsiah.
"Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban kewangan pihak sekolah dan ibu bapa, malah membuka peluang penyertaan kokurikulum yang lebih inklusif dan saksama kepada murid tanpa mengira latar belakang sosioekonomi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Menurut Amirudin, pelaksanaan program itu dijangka meningkatkan pencapaian PAJSK murid sekolah agama, sekali gus memperluas peluang mereka melanjutkan pengajian ke sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan institusi pendidikan menengah terpilih.
Malah, katanya, penglibatan aktif dalam kokurikulum turut menjadi antara aspek yang dapat menyokong peluang murid melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi pada masa hadapan.
"Kerajaan Negeri terus komited memperkasakan pendidikan Islam yang holistik dengan memastikan pembangunan murid tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan akademik dan penguasaan ilmu agama, malah turut merangkumi pembentukan sahsiah, kepimpinan, kecergasan jasmani serta penglibatan aktif dalam aktiviti sukan dan kokurikulum," katanya.
Belanjawan Selangor 2027 bertemakan ‘Selangor Negeri Progresif, Institusi Dijunjung, Rakyat Disantuni’ memperuntukkan RM3.3 bilion, merangkumi RM1.9 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.4 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
