RM1.8 Juta Diperuntukan Baik Pulih Selenggara PPR Lembah Subang 1

23 Jun 2023 • 9:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Daripada jumlah itu, sebanyak RM746,000 diperuntuk bagi penggantian susur tangan di semua blok manakala RM1.063 juta lagi bagi melaksanakan kerja-kerja pendawaian elektrik, penyelenggaraan 14 unit lif dan membaik pulih dua unit rumah yang terbakar di PPR itu - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM1.8 juta diperuntuk pada tahun ini bagi membaik pulih serta menyelenggara unit dan kemudahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di Taman Putra Damai, Selangor.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM746,000 diperuntuk bagi penggantian susur tangan di semua blok manakala RM1.063 juta lagi bagi melaksanakan kerja-kerja pendawaian elektrik, penyelenggaraan 14 unit lif dan membaik pulih dua unit rumah yang terbakar di PPR itu.

“Sejak 2017 hingga tahun ini, sebanyak RM30.6 juta telah disalurkan untuk pembaikan serta penyelenggaraan di PPR itu dan nilai ini tidak termasuk kos yang dibayar kepada ejen pengurusan yang menguruskan PPR tersebut.

“... mengambil kira PPR ini yang berusia hampir 25 tahun, tidak dinafikan keadaan unit rumah perlu dibaik pulih dan diselenggara termasuk kemudahan bersama seperti lif, bumbung, dewan dan taman permainan,” menurutnya dalam kenyataan susulan lawatan kerja rasmi ke PPR itu hari ini.

Beliau berkata lawatan dengan usaha sama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kerajaan negeri itu adalah bagi meninjau keadaan PPR tersebut setelah menerima banyak rungutan penduduk mengenai keadaan rumah, harta bersama dan kawasan persekitaran.

Akmal Nasrullah juga berkata KPKT dan kerajaan negeri yang diwakili Ahli Parlimen Petaling Jaya serta penduduk telah bersetuju menubuhkan Badan Bertindak Penduduk bagi melaksanakan gerak kerja untuk menambah baik persekitaran serta kehidupan di PPR itu.

Beliau berkata badan itu akan dianggotai wakil Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan penduduk bagi meningkatkan pemerkasaan komuniti.

“KPKT juga amat mengalu-alukan usaha dan kerjasama semua pihak seperti ThinkCity, pertubuhan bukan kerajaan, untuk turut sama menyumbang tenaga, idea dan usaha memperbanyak aktiviti komuniti bersama penduduk di sini,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT Suhaimi Ali @ Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Jayaselan K. Navaratnam, Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia  Halimey Abu Bakar selain ketua jabatan peringkat persekutuan, negeri serta daerah.

Pembinaan Fasa 1 PPR Lembah Subang 1 siap pada Mac 1999 manakala Fasa 2 (September 2000) dan secara keseluruhan, terdapat sebanyak 3,004 unit dengan lapan blok 17 tingkat yang melibatkan kos pembinaan RM109 juta. - Bernama