RM1 juta diperuntuk baik pulih padang awam, gelanggang futsal Kampung Sungai Lui

5 Jul 2025 • 1:14 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan RM1 juta untuk membaik pulih padang awam dan gelanggang futsal di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua Datuk Johan Abd Aziz berkata dana disalur melalui program Kampung Angkat Sejati Madani yang dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan untuk membaiki semula kemudahan rosak akibat banjir besar pada 2021.

“Ini merupakan janji saya kepada golongan belia kampung yang mahukan ruang riadah lebih selesa dan lengkap ketika kempen pilihan raya negeri yang lepas.

“Padang awam itu menjadi aktiviti mereka bermain bola sepak pada waktu petang hingga tidak boleh diguna sejak 2021 yang kini dipenuhi lumpur dan sampah sarap,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi atas sokongan dan kerjasama sepanjang proses permohonan dana bagi melaksanakan projek baik pulih itu.

“Sepanjang tempoh saya menjadi ADN, saya membantu dengan kerja kecil seperti pembekalan lampu solar namun ia tidak mencukupi.

“Projek memenuhi keperluan asas anak muda dan segala masalah kemudahan awam Kampung Sungai Lui dapat diselesaikan secara menyeluruh,” ujarnya.