RM1 juta laksana Kampung Angkat Madani di Tawau

LocalPolitics
23 Apr 2025 • 4:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Amir Anuar

TAWAU: Kementerian Kewangan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1 juta kepada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat Madani pada tahun ini.

Kelulusan itu sekali gus disifatkan khabar gembira untuk penduduk di Kampung Inderasabah sebagai satu-satunya kawasan penempatan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Datuk Dr Jamaluddin Mohd Ali ketika mengumumkan nilai dana itu berkata tumpuan utama adalah menambah-baik infrastruktur dan kesejahteraan penduduk.

“Antara inisiatif yang sudah dikenal pasti melibatkan pencahayaan di jalan yang kurang terang, menaik-taraf jeti dan meningkatkan aspek kawalan keselamatan di Inderasabah,” katanya.

Dr Jamaluddin berkata demikian selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Penyelarasan Program Kampung Angkat Madani Esscom dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di Dewan Persidangan Majlis Perbandaran Tawau pada Selasa.

Mengulas lanjut enam kampung dipilih sebagai Kampung Angkat Madani di Sabah namun Inderasabah penempatan tunggal terpilih di Esszone kerana sesuai dengan kriteria ditetapkan.

“Jika program ini berhasil di Inderasabah mungkin kita akan perluaskan model yang serupa ke kawasan lain di Esszone. Misalnya di Kudat, Sandakan, Beluran atau Semporna,” katanya.

Ditanya berhubung kriteria pemilihan Inderasabah beliau berkata kampung terbabit terdedah dengan aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan minyak dan rompakan laut.

Menurutnya pemilihan turut mengambil-kira kedudukan geografi kampung itu yang hampir dengan perairan sempadan Indonesia dan Filipina selain penduduknya disifatkan bersatu-hati.

“Pada masa sama peruntukan tambahan bernilai RM200,000 turut disediakan untuk program-program yang melibatkan sektor pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kita juga turut memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Lihak-Lihak di Semporna sebagai Sekolah Angkat MADANI dengan peruntukan RM100,000 hasil perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.

Menyentuh hal berkaitan Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superitendan Champin Piuh menyifatkan keadaan di Inderasabah terkawal dan hanya merekodkan tiga kes jenayah terpencil.

“Dari segi kawalan keselamatan kita mempunyai sebuah pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Inderasabah selain pemantauan di laut melalui Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya.

Nizam yang juga Pembantu Menteri di Pejabat Ketua Menteri pula bersyukur kerana kampung yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas itu dipilih sebagai ‘lokasi bertuah’.

“Saya yakin program ini akan memberikan impak besar dan nilai tambah dari segi aktiviti sosial khususnya berkaitan peningkatan ekonomi penduduk dan keselamatan di sempadan,” katanya.