RM1 juta untuk Tugu Negara, di mana maruah kita?

LocalPolitics
9 Jul 2026 • 9:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RM1 juta untuk Tugu Negara, di mana maruah kita?
Monumen setinggi 15 meter yang siap pada 1966 hasil ilham Tunku Abdul Rahman itu bukan sekadar mercu tanda, tetapi lambang harga sebuah kemerdekaan.

RAMAI yang melompat apabila mendapat tahu Amerika Syarikat menyumbang kira-kira RM1 juta untuk membaik pulih Tugu Negara. Pelik, kata mereka.

Macam mana sebuah negara yang lantang mengecam dasar Washington di Asia Barat boleh dengan mudah tadah tangan menerima cek daripada negara yang sama?

Bagi Merak Jalanan, ini bukan soal hipokrasi. Ini diplomasi.

Malaysia dari dahulu mengamalkan dasar berkecuali. Kita boleh berbeza pendapat dalam satu isu, tetapi terus bekerjasama dalam isu lain.

Lagipun, Tugu Negara dan Iwo Jima Memorial di Virginia direka oleh pengukir yang sama, Felix de Weldon.

Ada hubungan sejarah di situ. Namun, yang Merak Jalanan tertanya-tanya, kenapa bukan kita sendiri yang sediakan RM1 juta itu?

Bukan semua rakyat Malaysia tahu atau peduli sejarah Tugu Negara. Sedangkan di situlah terakam kisah lebih 11,000 perajurit yang gugur mempertahankan tanah air.

Monumen setinggi 15 meter yang siap pada 1966 hasil ilham Tunku Abdul Rahman itu bukan sekadar mercu tanda, tetapi lambang harga sebuah kemerdekaan.

Pada 26 Ogos 1975, pengganas komunis pernah meletupkan Tugu Negara sehingga rosak teruk. Ketika itu, Tun Abdul Razak melancarkan tabung khas untuk membiayai kerja pemulihannya.

Rakyat pelbagai kaum tampil menghulurkan sumbangan. Kira-kira RM1.3 juta berjaya dikumpul. Tugu itu dibina semula hasil semangat kebersamaan sebuah negara.

Hari ini, menjelang ulang tahun ke-70 kemerdekaan, kita ada bajet negara ratusan bilion ringgit tetapi masih menanti wang dari luar untuk Tugu Negara.

Pelik tapi benar. Kerana sebuah bangsa yang benar-benar menghargai pahlawannya tidak akan membiarkan memorinya dipulihara orang asing.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved