
Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira RM10 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (Jhewa) bagi pelaksanaan program pembangunan dan pemerkasaan pemimpin wanita berkaliber.
Beliau berkata pembangunan wanita terus menjadi keutamaan dengan memastikan peluang dan manfaat yang sama rata dalam pelbagai sektor.
“Sehubungan itu lebih ramai wanita dilantik ke jawatan pembuat dasar dan pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam serta agensi kerajaan.
“Saya berharap usaha pemerkasaan wanita seperti simposium ini akan terus dilaksanakan dengan sokongan bukan sahaja daripada Kerajaan tetapi juga sektor swasta, masyarakat sivil dan komuniti setempat.
“Kita berhasrat melahirkan generasi wanita Sabah yang berdaya tahan, berilmu, berkemahiran tinggi dan mampu memimpin bukan sahaja dalam komuniti mereka tetapi juga di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya pada Simposium Pemimpin Wanita Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Khamis.
Ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib.
Hajiji berkata cabaran masih wujud termasuk jurang pekerjaan antara lelaki dan wanita, diskriminasi gender secara tidak langsung, halangan budaya serta persepsi sosial yang kadangkala mengehadkan potensi wanita.
“Memastikan akses yang adil kepada pendidikan, latihan dan peluang ekonomi juga memerlukan perhatian berterusan,” katanya.
Ketua Menteri berkata program pemerkasaan itu telah melalui beberapa fasa, bermula dengan sesi Libaturus dengan Pemimpin-Pemimpin Wanita Sabah pada Jun yang menghimpunkan 1,300 peserta. Daripada jumlah itu, 300 disenarai pendek untuk bengkel Women’s Lab Fasa 1 diikuti dengan Incubator Lab Fasa 2 di mana 75 wanita membentangkan projek dan kertas kerja.
Mereka yang menamatkan kedua-dua fasa akan menyertai projek khas pemerkasaan Global Women @ Sabah (Glow @ Sabah).
“Saya yakin simposium sehari ini akan memberi impak positif kepada semua wanita hebat yang hadir,” katanya.
Kira-kira 3,000 wanita dari seluruh Sabah mengambil bahagian dalam simposium itu, yang menumpukan kepada pendidikan, ekonomi dan kepimpinan, selaras dengan Dasar Wanita Negara.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri KPMK Datuk Flovia Ng, Setiausaha Tetap KPMKR, Datuk Maria Chong, Pengerusi Institut Pembangunan Sabah Datuk Seri Azizah Dun, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Datuk Rosmawati Lasuki, pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi serta peserta.

