RM100 juta dibelanja MAIWP demi pendidikan anak-anak asnaf sepanjang tahun 2022.

31 Jan 2023 • 3:45 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Bantuan pendidikan merupakan satu bentuk bantuan yang penting kepada golongan asnaf fakir dan miskin.

Ini kerana pendidikan merupakan tiket penting yang mampu mengubah kehidupan mereka di samping mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan.

Demi memastikan pendidikan anak-anak asnaf terbela dan terjaga, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah membelanjakan RM100 juta yang memanfaatkan 40,000 anak-anak sepanjang tahun lepas.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, langkah ini dibuat bagi memastikan tiada anak-anak asnaf yang tercicir mendapat pendidikan yang sewajarnya.

Menurutnya, jumlah terbabit adalah sebahagian daripada RM855,519,208,03 dana zakat yang diagihkan melalui skim bantuan MAIWP dengan jumlah penerima sebanyak 220,769.

Ujar beliau, MAIWP setiap bulan telah memberi bantuan kewangan bulanan kepada lebih 30,000 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf fakir, miskin dan saudara baru berjumlah RM500 hingga RM1,000.

“Dalam masa yang sama MAIWP juga berkolaborasi bersama pusat latihan dan pemain industri bagi menyediakan program latihan industri dengan jaminan kerjaya kepada anak-anak asnaf.

“Program latihan kemahiran bersama jaminan pekerjaan akan menjadi tumpuan utama bagi memastikan nasib anak-anak ini pada masa depan terjamin,” katanya dalam ucapan pada Karnival MAIWP 2023 di Dataran Merdeka, baru-baru ini.

Perasmian karnival tersebut telah disempurnakan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal dan Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam karnival berkenaan, Yang Di-Pertuan Agong turut berkenan menyampaikan sijil penghargaan, plak serta cek berjumlah RM3,000 kepada Ikon Usahawan MAIWP, Robiatul Adawiah Ibrahim serta Ikon Pendidikan MAIWP, Dr Muhammad Amirullah Sahudin.

Tambah Mohd Daud, karnival tersebut akan dijadikan program tahunan dan dimasukkan dalam kalender aktiviti MAIWP.

Ujarnya dalam masa yang sama pihaknya juga akan melaksanakan beberapa program lain sepanjang tahun ini.

“Antara yang akan dilaksanakan adalah penubuhan dapur berpusat (central kitchen), pembinaan Masjid Cina di Jalan Davies serta pembelian perumahan mampu milik di Labuan buat golongan asnaf,” ujarnya

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok