
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan penggunaan wang RM11 juta dalam bentuk mata wang digital, dipercayai hasil penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang oleh seorang pemegang konsesi bergelar Tan Sri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mendapati wang itu dimasukkan ke dalam akaun tertentu selepas dana sukuk diterima.
“Dana terbabit dipercayai digunakan dalam bentuk mata wang digital bagi tujuan peribadi. Namun kita sedang mengesan bagaimana wang itu dikeluarkan dan digunakan.
“Wang itu kita syaki daripada dana sukuk dan ditukar kepada digital currency, malah penggunaannya bukan untuk projek lebuh raya Mex. Kita juga ada dokumen tukaran wang itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 10 saksi lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, seramai 55 saksi telah dirakam keterangan dan sembilan individu ditahan. Sebanyak 14 akaun individu dan lapan akaun syarikat telah dibekukan, membabitkan jumlah keseluruhan RM156 juta bagi tujuan siasatan.
“Siasatan ini dijangka selesai dalam tempoh dua bulan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan kemudian,” katanya.
Azam turut memaklumkan bahawa setakat ini, tiada keperluan untuk memanggil semula individu bergelar Tan Sri itu untuk dirakam keterangan.
Terdahulu, seorang kenamaan bergelar Tan Sri merupakan antara beberapa individu disiasat SPRM berhubung penyelewengan dana sukuk projek pembinaan lebuh raya.
Sebelum ini, SPRM telah menyita aset dalam negara berjumlah RM141 juta dan sedang mengesan aset luar negara bernilai RM15 juta yang dikaitkan dengan kes tersebut.
Antara yang disita ialah akaun individu berjumlah RM4.5 juta, akaun syarikat RM33 juta, kondominium mewah dan tanah bernilai RM24.5 juta, jam tangan mewah RM26 juta, sembilan kereta mewah RM7.65 juta, serta barang kemas dan berlian bernilai RM10 juta.
Turut disita ialah tas tangan mewah RM6 juta, jongkong, patung dan syiling emas dianggarkan bernilai RM3 juta serta empat ekor kuda bernilai RM400,000. – 25 Jun, 2025
The post RM11 juta dana sukuk lebuh raya ditukar mata wang digital untuk kegunaan peribadi: Azam Baki appeared first on Scoop.

